Tun Dr Mahathir Mohamad akan membawa undi Melayu di kerusi marginal kepada Pakatan Harapan (PH) , kata Setiausaha Organisasi Nasional DAP, Anthony Loke.
Bercakap pada ceramah PH di Bentong Ahad malam, Loke berkata DAP sering berdepan kesukaran untuk mendekati pengundi Melayu di kawasan luar bandar, namun kini akan berjaya ditembusi dengan adanya faktor Dr Mahathir.
“Kita mesti menang di kerusi marginal seperti Bentong, Labis dan Cameron Highlands untuk meningkatkan peluang kita mengambil alih kerajaan persekutuan .
“Contohnya, ada empat kerusi DUN di Bentong. Pada 2013, DAP menang tiga daripadanya tetapi kalah di Bentong.
“Satu lagi kerusi DUN milik Umno. Kami akan bawa Dr Mahathir ke situ,” kata Loke sepertimana dilapor The Malaysian Insight.
Pada pilihan raya lalu, kerusi Parlimen Bentong kekal milik MCA menerusi presidennya Liow Tiong Lai yang menewaskan calon DAP, Wong Tack dengan majoriti hanya 379 undi.
DAP mungkin meletakkan Wong sekali lagi di Bentong pada PRU14.
Pada PRU13, DAP menang DUN Bilut, Ketari dan Sabai, sementara Umno berjaya mempertahankan Pelangai, kerusi luar bandar disandang oleh Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob.
DAP melancarkan kempen di kawasan MCA, terutama di kerusi presiden Liow di Bentong dan timbalannya, Wee Ka Siong di Ayer Hitam, Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan