Selasa, 30 Januari 2018

Dua direman seleweng dana RM3 juta

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai yang berkhidmat di sebuah badan sains antarabangsa direman selama lima hari bagi membantu siasatan penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM3 juta sejak 2012.
 
Majistret Mohd Nor Hafidzuddin Yusoff mengeluarkan perintah tahanan reman sehingga 3 Februari terhadap suspek berusia 44 tahun itu yang merupakan Pegawai Tadbir Kanan International Council for Scientific Union Regional Office for Asia Pacific (ICSU-ROAP) di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM).
 
Mohd Nor Hafidzudin turut mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap seorang rakan suspek yang berusia 57 kerana disyaki bersubahat dalam penyelewengan itu dan telah menyamar menggunakan gelaran profesor lestari dari universiti tempatan.
 
Media semalam melaporkan kedua-dua suspek telah ditahan di sebuah kondominium di ibu negara pada kira-kira pukul 11.30 pagi.
 
Suspek utama didakwa memalsukan tandatangan untuk mendapatkan kelulusan ASM bagi menjalankan program-program anjuran ICSU-ROAP yang diuruskan olehnya.
 
Menurut sumber, suspek yang dilantik secara kontrak sejak tahun 2008 itu bersubahat dengan rakannya bagi menyeleweng dana tersebut sejak 2012 hingga tahun lalu.
 
 

Tiada ulasan: