Sabtu, 27 Januari 2018
Menang atau ‘mati’ untuk MCA di Johor, kata bekas pemimpin
PETALING JAYA: Seorang bekas wakil rakyat MCA memberi amaran kepada parti itu yang perlu memenangi kerusi di Johor jika ia mahu terus hidup dan kekal relevan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Bekas adun Subang Jaya, Datuk Lee Hwa Beng berkata, MCA akan berjuang “habis-habisan” mempertahankan Johor kerana parti itu memenangi paling banyak kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU13.
“Mereka tahu jika mereka gagal mengekalkan sekurang-kurangnya kerusi (yang ada) itu, mereka akan ‘mati’.
“Sudah tentu mereka takut. Tidak kira apa, mereka akan cuba pertahankan kerusi itu atau kepentingan mereka akan hilang selama-lamanya.”
MCA sekadar memenangi 7 daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada PRU13, berbanding 15 kerusi Parlimen serta 32 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU12.
Sebanyak 4 daripada 7 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU 2013 terletak di Johor, iaitu Labis, Ayer Hitam, Tebrau dan Tanjung Piai, manakala 3 lagi di Tanjung Malim (Perak), Bentong (Pahang) serta Alor Gajah (Melaka).
Sebanyak 11 kerusi DUN yang dimenanginya pada tahun sama ialah 3 di Melaka (Machap, Klebang dan Bemban), masing-masing 2 di Kedah (Gurun dan Kulim), Pahang (Damak dan Cheka) serta Johor (Paloh dan Pulai Sebatang), manakala 1 di Perlis (Titi Tinggi) dan Perak (Chenderiang).
Pada 2014, MCA dilaporkan berkata, mereka akan menumpukan 11 kerusi DUN di Johor pada PRU14.
Ia termasuk kerusi DUN Stulang, Johor Jaya, Parit Yaani dan Bekoh, di mana MCA kalah tipis kepada calon pembangkang dengan majoriti 3% hingga 8% undi.
Bagaimanapun, Lee berkata, pengundi Cina di Johor sudah memutuskan siapa yang akan mereka undi pada PRU14 dan ia bukannya MCA.
Bekas ahli Jawatankuasa Pusat MCA itu yang dipecat partinya pada 2013 berkata, pengundi Cina di Johor sanggup menyokong calon bukan Cina bagi menafikan kemenangan MCA.
“Mereka akan undi untuk perubahan, bukannya demi parti.”
Lee percaya tiada faktor yang mampu mengembalikan sokongan pernah dikecapi MCA dahulu.
“Orang Cina tahu kemenangan MCA bukan jaminan parti itu akan mendapat tempat dalam Kabinet.”
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan