Sabtu, 27 Januari 2018

Politik antarabangsa: Perspektif TG Abdul Hadi Awang

HARIS ZALKAPLI

"DALAM kemelut yang begitu celaru, umat Islam perlu kembali ke pangkal jalan, mengenali kawan dan lawan serta mengambil iktibar daripada kesalahan yang lalu. Para ulama dan pemimpin di zaman keemasan umat Islam bersatu dalam perkara rukun dan berbeza pendapat dalam masalah cabang sehingga tidak memisahkan hubungan persaudaraan agama dan kemanusiaan berbagai agama dan kaum dalam negara Islam yang luas dan besar.” - Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Februari, 2012
 

Sejak dunia Islam berdepan dengan cabaran geopolitik dan pemikiran yang amat getir lebih lima tahun lalu, peranan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semakin nyata kelihatan dan dirasakan kepentingan dan keperluannya.
 
Kebangkitan rakyat secara besar-besaran di dunia Arab meliputi rantau Asia Barat dan Afrika Utara menimbulkan harapan dan sentimen sokongan dan kebersamaan yang kuat dalam kalangan umat Islam dan gerakan Islam khususnya.
 
Kebangkitan di Mesir pada 2011, yang membuka kemungkinan kepada gerakan Ikhwanul Muslimin muncul di tengah-tengah masyarakat dan menguasai tampuk pemerintahan melalui pilihan raya yang sebenar, mendorong gerakan-gerakan Islam memberikan sokongan sepenuhnya.
 
Prospek pemerintahan zalim Presiden Hosni Mubarak dan pemerintah-pemerintah autoritarian sekular yang lain di rantau Arab dijatuhkan dan digantikan dengan gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin telah mencetuskan kegembiraan dan harapan yang besar.
 
Walau bagaimanapun, selepas satu tempoh, kebangkitan yang dilihat sebagai untuk kepentingan rakyat itu mula memperlihatkan satu haluan yang berbeza, dan kepentingan rakyat bukan lagi menjadi satu matlamat utamanya.
 
Bermula saat itu, Tuan Guru Abdul Hadi telah memperlihatkan perspektifnya yang berbeza daripada kebanyakan pandangan dan pendapat berhubung apa yang disebut sebagai kebangkitan rakyat itu.
 
Hakikat bahawa kuasa-kuasa serantau dan kuasa besar yang berkepentingan telah memperlihatkan bagaimana agenda mereka mula dilaksanakan pada masa itu sukar untuk dikenal pasti oleh banyak pihak termasuk pemimpin gerakan Islam sendiri.
 
Permainan media menetapkan jalan cerita yang dipersembahkan kepada masyarakat dunia terutama ahli-ahli gerakan Islam telah mengaburi pandangan dan menyukarkan usaha penilaian yang rasional.
 
Kelemahan pemahaman umat tentang kesinambungan sejarah dunia Islam terutama di rantau Asia Barat telah menjerumuskan umat ke dalam perangkap yang disusun oleh musuh dan mereka yang bersubahat dengan mereka.
 
Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan pendirian agar umat Islam tidak terperangkap oleh percaturan musuh ini pada awal lagi, iaitu sekitar tahun 2012 semasa konflik di Syria masih di belum sampai pada tahap yang disaksikan pada hari ini, pada masa semua pihak terlibat masih boleh menilai semula pendirian masing-masing.
 
Sikap teliti dan waspada serta mengutamakan pencegahan terhadap perpecahan dan mengelak diambil kesempatan oleh musuh oleh Tuan Guru Abdul Hadi ini ialah sikap yang beliau ambil dalam menilai semua perkembangan politik dunia Islam, lama sebelum pergolakan yang dikenali sebagai Arab Spring bermula lima tahun lalu.
 
Tuan Guru telah berperanan dalam mendamaikan konflik antara kumpulan umat Islam di Yaman yang bermula pada 2009, dan mengajak penyatuan politik dalam kalangan parti-parti politik di Indonesia.
 
Dalam satu tulisan pada awal tahun 2012, Tuan Guru menulis, menegaskan agar umat Islam belajar dari sejarah keruntuhan kerajaan Uthmaniyah yang dibenarkan oleh umat Islam sendiri yang terpedaya oleh perancangan musuh, mengikut sentimen etnik dan kaum masing-masing hingga akhirnya pemerintah yang menaungi umat pada masa itu berakhir.
 
Lima tahun sebelum ulangtahun ke-100 kebangkitan Arab dan perjanjian rahsia Sykes-Picot 1916, Tuan Guru telah mula menyebarkan tentang pengajaran daripada perpecahan umat itu, yang menyaksikan umat dieksploit sentimen dan kepentingan masing-masing hingga berperang sesama sendiri, mengakibatkan perpecahan yang kemudian membawa kepada pelbagai kemelut lain.
 
Tanpa menafikan kelemahan pemerintah pada masa itu, tindakan menentang pemerintah Uthmaniyah sehingga meruntuhkan pemerintahan Islam itu akhirnya membuka kepada pelbagai akibat yang ditanggung hingga ke hari ini.
 
Akibat keruntuhan Daulah Uthmaniyah itu, perancangan musuh melalui Perjanjian Sykes-Picot yang membahagikan wilayah Islam kepada kuasa asing terlaksana.
 
Menurut Tuan Guru, dalam tulisan diterbitkan pada Februari 2012 itu: “Umat Islam dilagakan dengan semangat kebangsaan masing-masing sehingga membantu musuh bagi menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah di abad yang lalu tanpa menafikan adanya kezaliman dan kesilapan kerajaan Uthmaniyah terhadap wilayahnya.
 
“Semangat nasionalisme digunakan bagi menimbulkan kebencian Arab terhadap bangsa Turki yang menguasai kerajaan Islam dimasa itu. Di atas semangat kebangsaan dengan bantuan yang melibatkan manusia seperti Lawrence (of Arabia) dan rakan-rakan Arab dibantu untuk menentang Turki Utmaniyah.
 
“Akhirnya kerajaan Uthmaniyah dijatuhkan dan diberi tempat kepada Kamal Ataturk mendirikan kerajaan sekular menggantikan kerajaan Islam di atas nama memajukan Turki tetapi berakhir dengan bangsat.
 
“Di kalangan bangsa Arab pula diupah dengan bahagian masing-masing mengikut road map Sykes-Picot dengan membahagikan di kalangan negara Barat untuk menjaganya dengan upah mengangkut hasil bumi yang kaya.
 
“Manakala Arab pula dibayar dengan wang yang banyak supaya kaya-raya tanpa teknologi yang dapat menguatkannya sehingga dapat berdikari dan meninggalkan sifat Islamnya supaya tidak berakhlak, tetapi terus berlindung dengan negara-negara Barat tersebut.
 
“Negara-negara Arab yang mendapat bahagian ini masih lagi menjadikan hari mendapat bahagian tersebut sebagai hari kebangsaan masing-masing yang disambut dengan meriahnya secara tahunan.”
 
Sejarah hitam keruntuhan kerajaan Islam itu merupakan satu mesej yang sering diulang-ulang oleh Tuan Guru apabila menjelaskan tentang pergolakan yang berlaku di dunia Arab, menegaskan agar umat Islam belajar dari sejarah.
 
Beliau turut mengutamakan penyatuan antara umat Islam, dengan mengetepikan perbezaan-perbezaan politik atau aliran dalam agama, demi kepentingan perpaduan dan kerjasama yang lebih utama bagi menghadapi cabaran dan gugatan daripada musuh.
 
Perspektif inilah yang menjadi antara tunjang utama sikap Tuan Guru Abdul Hadi dalam mendepani dan menangani isu umat Islam yang sedang mencabar seluruh dunia Islam pada masa kini.
 
Mesej penyatuan dan kepentingan mengambil iktibar dari sejarah sentiasa diberi penekanan oleh Tuan Guru, tanpa teralih perhatian oleh hal-hal yang ada kalanya ditimbulkan dan disebarkan untuk mengeruhkan lagi keadaan.
 
Hal ini menampakkan perspektif jelas dan berbeza Tuan Guru, pada masa semangat untuk menjatuhkan pemerintah zalim dan menggantikannya dengan kumpulan Islam sedang memuncak dan sukar untuk menerima penjelasan selain daripada kepentingan untuk bersegera berjihad menjatuhkan pemerintah zalim itu.
 
Pada masa itu, sentimen perbezaan mazhab telah berleluasa dan diterima ramai, sehingga tercetus pertembungan perspektif yang ketara dalam kalangan gerakan Islam, dengan pembahagian jelas antara sekutu dan musuh.
 
Perspektif Tuan Guru Abdul Hadi ini akhirnya terbukti sebagai satu pandangan paling tepat dalam mengambil sikap terhadap peristiwa yang berlaku di dunia Arab, yang kini sedang dilanda perang saudara, perang proksi dan konflik sektarian yang belum kelihatan hujungnya.
 
Apa yang sedang berlaku inilah yang ingin dielakkan oleh mereka yang memahami pergolakan yang berlaku dengan lebih mendalam, yang bukan hanya memerhatikan apa yang terzahir melalui ucapan-ucapan pihak terlibat dan dibincangkan di media.
 
Selepas lebih enam tahun kebangkitan rakyat yang akhirnya membawa kepada satu konflik serantau yang rumit, sudut pandang Tuan Guru melibatkan mengambil iktibar dari sejarah, kewaspadaan terhadap perancangan musuh dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam telah terbukti sebagai perspektif paling tepat dalam melihat dan menangani perkembangan politik dunia Islam. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: