Selasa, 30 Januari 2018

Tun M Arah Pembahagian Kerusi PH Selangor Diputus Jawatankuasa Khas





Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan agar pembahagian kerusi PH Selangor diputuskan dalam Jawatankuasa Khas dan bukannya jawatankuasa pilihan raya peringkat negeri yang diamalkan sebelum ini.

Beliau berkata jawatankuasa pilihan raya PH Selangor yang diketuai oleh Dr Xavier Jayakumar tidak mempunyai local standi untuk membuat keputusan berkenaan pembahagian kerusi.

“Berkenaan dengan Selangor, terdapat sedikit salah faham tentang badan mana yang perlu melihat tentang agihan kerusi.

“Mereka fikir itu tugas jawatankuasa pilihan raya tetapi ia sepatutnya satu jawatankuasa khas dan kini kami telah menubuhkan satu jawatankuasa khas dan mereka akan mengambil alih dan masalah itu akan diselesaikan,”kata Mahathir pada sidang akhbar di ibu pejabat PPBM di Petaling Jaya selepas mesyuarat majlis presiden PH tengah hari tadi.

Isu agihan kerusi di Selangor dikatakan mengambil masa terlalu lama ekoran wujud desas-desus bahawa PKR sedang memujuk PAS untuk bekerjasama di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.

Namun perkara itu dinafikan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa adalah tidak munasabah mengaitkan PKR sedang mengusahakan kerjasama dengan PAS sedangkan proses perbincangan kerusi bersama PH telah bermula sekian lama.

Beliau yang mengakui prosesnya begitu rumit memandangkan pelbagai aspek perlu dipertimbangkan demi memastikan calon yang mewakili gabungan berkenaan akan menang di kerusi yang ditandinginya.

Tiada ulasan: