Sabtu, 27 Januari 2018

Kerajaan persekutuan khianati Sabah, Sarawak, kata G25



Noor-Farida-Ariffin--sabah-sarawak-g25-m

SHAH ALAM: Jurucakap G25 Datuk Noor Farida Ariffin menuduh kerajaan persekutuan mengkhianati Sabah dan Sarawak kerana gagal menghormati Perjanjian Malaysian 1963 (MA63).

Mengikut perjanjian itu, Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu adalah rakan kongsi sama taraf yang bersatu menjadi Malaysia dan bukan salah satu negeri komponen, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang asal.

“Bermakna pengagihan kemewahan negara bagi Sabah dan Sarawak sepatutnya lebih besar berbanding negeri-negeri di Semenanjung dan kedua-dua negeri itu sepatutnya diberi autonomi lebih besar,” katanya.

Bercakap di forum G25 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini, Farida berkata salah satu daripada perkara dalam MA63 menyebut Sabah dan Sarawak tidak mempunyai agama rasmi.

“Tetapi sekarang, jika RUU 355 diluluskan, ia akan memberi kesan ke atas Sabah dan Sarawak.”

RUU 355 merujuk kepada rang undang-undang persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mencadangkan kerajaan memperkenalkan hukuman lebih keras ke atas kesalahan syariah.

Farida berkata terpulang pada rakyat Sabah dan Sarawak menuntut semula hak mereka.

“Perkara-perkara ini perlu dibetulkan kerana ini adalah hak anda. Kalau anda mahu lakukan perubahan, kamu perlu lakukannya melalui pilihan raya.”

Tiada ulasan: