Isnin, 29 Januari 2018

Putrajaya digesa percepat penukaran agama anak Indira Gandhi

Putrajaya digesa percepat penukaran agama anak Indira Gandhi
Guru Taska, M. Indira Gandhi ketika ditemui di luar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini. Mahkamah memutuskan pertukaran agama tiga anaknya yang dibuat oleh bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah terbatal.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli,
 
MAJLIS antara agama meminta Putrajaya untuk mempercepatkan pertukaran agama tiga anak M. Indira Gandhi selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan pertukaran agama tiga kanak-kanak berkenaan kepada Islam terbatal.

Presiden Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST), R.S. Mohan San berkata, pihak majlis berkenaan memohon untuk kanak-kanak berkenaan ditukarkan kepada agama asal mereka.

"Polis juga perlu membantu mendapatkan semula anak bongsunya (yang hilang). Mereka mesti dikembalikan kepada ibunya," katanya kepada The Malaysian Insight.

Mahkamah dihakimi lima panel hakim terdiri daripada presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Richard Malanjum, Zainun Ali, Abu Samah Nordin dan Ramly Ali, menyampaikan penghakiman penting pada hari ini.

Zainun yang membacakan rumusan penghakiman hari ini berkata, pertukaran agama itu memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapa.

"Artikel ini tidak boleh ditafsirkan secara harfiah ... (Ia) memerlukan persetujuan kedua ibu bapa.
"Kata perlembagaan "ibu bapa" adalah kes kehilangan dalam terjemahan, kedua ibu bapa mempunyai hak yang sama," katanya.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis menghormati keputusan mahkamah pagi ini dan akan mengesan anak Indira Gandhi yang hilang.

Indira membawa perkara itu ke mahkamah selepas bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, mengambil anak bongsu mereka, Prasana Diksa yang berusia 11 bulan ketika itu, selepas menukarkan agama tiga anaknya kepada Islam pada 2009.

Mohan berkata Pendaftar Mualaf perlu mempercepatkan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk pengambilan semula anak-anak.

"Mereka perlu cepat. Isu ini tidak boleh dilengahkan.

"Kita tidak perlukan mahkamah syariah untuk memberikan keputusan berlainan dan menjadikan ia lebih buruk."

Mohan berkata, Mahkamah Persekutuan merupakan pihak berkuasa kehakiman paling tinggi dan keputusannya mesti dipatuhi.

Mohan yang juga presien Hindu Sangam berkata, para hakim telah membuat keputusan yang menarik dan monumental terhadap Indira yang menderita selama sembilan tahun.

"Dia akhirnya mendapat keadilan di atas apa yang telah dilakukan suaminya, dengan menukar agama anaknya secara salah.

"Kami amat berterima kasih dan ingin merakamkan penghargaan kepada kehakiman."

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz hari ini bersetuju keputusan Mahkamah Persekutuan, dan menyifatkan ia sebagai kemenangan bagi semua rakyat Malaysia.

Bekas menteri undang-undang berkata keputusan hari ini menunjukkan bahawa kabinet adalah betul dalam mengumumkan pada tahun 2009 bahawa anak-anak pasangan yang berpisah harus tetap berada di agama ibu bapa pada masa perkahwinan mereka.

Tiada ulasan: