PUTRAJAYA: Empat buah kereta milik seorang pegawai kanan kastam serta
ahli keluarganya terbakar dalam satu kejadian kebakaran di rumahnya di
Presint 11 di sini disyaki perbuatan khianat pada awal pagi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, bahagian hadapan rumah
itu juga hampir musnah dijilat api yang berpunca daripada letupan kereta
tersebut.
Menurut Noorhayati Khairuddin, 57, dia dan suaminya Nor Azman Mat Jini
yang juga Penolong Pengarah Kanan Kastam Bahagian Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST) tersedar selepas mendengar jeritan jirannya yang
meminta mereka segera menyelamatkan diri.
“Selepas dikejutkan daripada tidur, saya dan suami yang berada di
bahagian atas terus turun ke bawah untuk kejutkan anak, menantu dan dua
orang cucu.
“Ketika kejadian api mula marak di bahagian depan dan asap tebal mula
menyelubungi tingkat bawah rumah sepenuhnya sehingga menyukarkan kami
untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari
ini.
Menurut Noorhayati, mereka sekeluarga berjaya menyelamatkan diri melalui pintu belakang rumah itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
Putrajaya, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, pihaknya mengambil masa
kira-kira 30 minit untuk memadam kebakaran itu sepenuhnya.
Katanya, buat masa ini pihak JBPM masih menyiasat punca kebakaran dan semua bukti telah dibawa ke makmal untuk tujuan forensik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan