PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sedang giat
memasang jaring di projek-projek perumahan rakyat (PPR) di Kuala
Lumpur, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor.
Ujar beliau, ia merupakan usaha dalam mempertingkatkan keselamatan
penghuninya, susulan kematian remaja lelaki selepas ditimpa kerusi yang
dicampak dari tingkat atas PPR Kuala Lumpur minggu lalu agar tidak
berulang.
Jelas beliau, pemasangan itu akan merangkumi 494 blok PPR sekitar Kuala Lumpur yang melibatkan kira-kira 80,000 unit rumah.
“Ini merupakan kes kematian pertama seumpamanya tetapi tindakan
membuang barang dari atas sudah berkali-kali berlaku. Jadi, kita akan
mengadakan sesi penerangan yang lebih terperinci dilakukan oleh agensi
seperti DBKL kepada penghuni tentang apa yang boleh dan apa yang tidak
boleh dilakukan mereka.
“Bagi pemasangan jaring, ia dibiayai DBKL. Ada separuh tempat kita
sudah mulakan dan kita memberi kepada DBKL untuk meletakkan jaring
tertentu di bawah blok-blok PPR,” katanya kepada pemberita selepas
menyempurnakan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan di sini hari
ini.
Dalam kejadian pada Isnin lalu, seorang remaja lelaki maut selepas
sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas pangsapuri di Blok
102 PPR Seri Pantai, Pantai Dalam.
Susulan itu, polis telah merakam percakapan 31 individu bagi membantu siasatan kejadian berkenaan.
Kesemua yang dipanggil itu terdiri daripada saksi serta penghuni di PPR setinggi 21 tingkat itu.
Kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
kerana membunuh dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang
spekulasi yang boleh menggangu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan