KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini membuka
semula pemisah laluan basikal dan laluan kenderaan (rubber separator) di
pusat bandar berikutan alat tersebut didakwa mengundang bahaya kepada
penunggang motosikal.
Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL Datuk Mahadi Che Ngah berkata
pihaknya sedang mengkaji perkara tersebut dan akan membuat pertimbangan
untuk menggantikannya dengan “flexible barrier” di laluan basikal
sepanjang 11.9km itu.
Beliau, bagaimanapun berkata pemasangan “rubber separator” yang dibuat
sebelum ini mengikut piawaian antarabangsa seperti diguna pakai di
negara-negara lain.
“DBKL akan meneliti semula perkara ini berdasarkan cadangan dan
bantahan daripada pengguna jalan raya. Kami akan selesaikan permasalahan
ini sebaik mungkin supaya keselamatan pengguna terjamin.
“Selain itu, DBKL akan memastikan jenis permukaan laluan basikal itu
berada dalam keadaan selamat sebelum ia dibuka secara rasmi kepada
penunggang basikal,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran
SkyWorld Quality Centre yang dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.
Mahadi berkata laluan basikal fasa pertama itu disediakan DBKL sebagai
alternatif kepada orang ramai yang memilih untuk berbasikal ke pusat
bandar.
“Fasa pertama bermula dari ibu pejabat DBKL di Jalan Raja Laut, Jalan
Sultan Ismail hingga ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan
berpatah balik ke Jalan Sultan Ismail melalui Medan Pasar dan Dataran
Merdeka,” katanya.
Beliau berkata laluan basikal itu akan diperluaskan ke kawasan lain
sehingga ke Wangsa Maju dan sekitar Kuala Lumpur sekiranya fasa pertama
berjaya.
Baru-baru ini, gambar kemalangan penunggang motosikal berhampiran
laluan basikal berkenaan, tular dalam media sosial dan perkara itu
menimbulkan pelbagai persoalan daripada netizen tentang kewajaran projek
tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan