Selepas enggan
bersama pakatan pembangkang diketuai DAP, Pas diasak dan diserang
bertalu-talu oleh parti yang tidak sehaluan dengannya terutama Parti
Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Bagaimanapun, Pas terus nekad untuk berjuang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bersama blok sendiri, iaitu blok ketiga yang digelar Gagasan Sejahtera dengan cara bergabung dengan parti-parti kecil, NGO serta individu.
Bagaimanapun, Pas terus nekad untuk berjuang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bersama blok sendiri, iaitu blok ketiga yang digelar Gagasan Sejahtera dengan cara bergabung dengan parti-parti kecil, NGO serta individu.
Baru-baru ini, parti itu diuji lagi
apabila Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad membangkitkan isu
Memali dan mengaitkan Pas menerusi Amanat Hadi dan yang terbaharu, Ahli
Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bertindak keluar parti. Ikuti
wawancara ringkas wartawan ZAAIN ZIN bersama Setiausaha Agung Pas, Datuk
Takiyuddin Hassan membincangkan mengenai isu-isu terkini melanda Pas
dan persiapan parti itu menjelang PRU-14.
SOALAN: Tahun 2018 sudah membuka tirai
dan dengan kata lain, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin hampir.
Bagaimana persiapan Pas setakat ini?
TAKIYUDDIN: Semalam, kita telah
buat mesyuarat khas Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Kuala Lumpur dan
mesyuarat itu khusus membincangkan tentang PRU-14. Kita telah dengar
taklimat daripada Ketua Pengarah Pilihan Raya Pusat, Dr. Samsuri
Mokhtar. Beliau melaporkan persiapan di semua peringkat belum 100
peratus, tapi semuanya sudah di tahap siap siaga bagi menghadapi PRU-14
pada bila-bila masa sahaja.
Sebagaimana kenyataan Presiden, kali ini Pas
bertanding di blok sendiri iaitu blok ketiga dipanggil Gagasan
Sejahtera. Dalam gagasan ini ada Pas dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia
dan Berjasa. Dalam gagasan ini kita juga ada pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) dan individu bukan kerajaan (NGI). Ini adalah orang yang akan
menjadi calon-calon blok ini dalam PRU-14.
Kita akan bertanding lebih 100 kerusi. Pada 2013,
kita cuma bertanding 73 kerusi kerana ketika itu kita ada dalam Pakatan
Rakyat. Tahun ini kita akan bahagi dalam kalangan Gagasan Sejahtera,
cuma semuanya belum ditetapkan.
Saya sahkan calon untuk Pas semuanya sudah ada
untuk semua kawasan di seluruh negara. Pas setiap negeri sudah kemukakan
calon untuk seluruh kawasan Parlimen dan DUN. Tapisan senarai calon
peringkat akhir pula dibuat Majlis Syura Ulama pada 21 Disember lalu.
Ada calon lulus, ada yang tidak. Ini cara Pas. Mesti diluluskan Majlis
Syura. Dalam konteks Kelantan, kira-kira 30 peratus muka baharu.
Pandangan Datuk mengenai keputusan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar keluar Pas.
Saya menerima e-mel mengenai surat keluar parti
pada pukul 5.04 petang semalam. Dalam perlembagaan Pas ada banyak cara
keluar parti, sama ada permintaan sendiri, dipecat atau isytihar masuk
parti lain
Dia pilih kaedah pertama di bawah Fasal 15 (1a)
Perlembagaan Pas iaitu keberhentian seseorang ahli melalui permintaan
sendiri. Beliau telah isytihar berhenti menjadi ahli Pas mulai 31
Disember berkuatkuasa 11.59 malam. Beliau beri pelbagai alasan keluar
parti tapi saya ringkaskan menjadi empat. Pertama, ekoran tindak tanduk
tidak sihat Pas dalam menguruskan hal berkaitan perjuangan Islam.
Beliau mendakwa RUU355 sekarang dilihat menjadi
alat Pas untuk kepentingan politik semata-mata. Ini tidak benar. Mahfuz
sendiri seorang Ahli Parlimen yang tidak pernah ambil tahu tentang
RUU355 ini. Tiba-tiba dalam sesi Parlimen berakhir 30 November lalu,
apabila RUU355 tidak disambung perbahasan, dia melompat konon dia
paling kecewa.
Saya hendak jelaskan RUU355 ini bertaraf rang
undang-undang persendirian yang dibawa Presiden yang juga Ahli Parlimen
Marang ke Parlimen. Pas dah berjaya membawa usul ini dan dibahaskan.
Sekarang terserah kepada Parlimen sama ada nak membenarkan perbahasan
atau tidak. Dan ini bukan kuasa Pas. Kalau Pas belum bawa RUU355,
bolehlah dia kecewa.
Alasan kedua, sikap berkecuali diambil Pas dalam
isu bajet beberapa tahun mutakhir ini, iaitu kali terakhir dalam
pengundian Bajet 2018 yang dia kata sebagai pengkhianatan kepada
penderitaan rakyat.
Pas memang ambil sikap berkecuali kerana kita
anggap bajet ini ada banyak perkara kita tidak setuju tetapi kita akui
banyak yang baik untuk rakyat. Bukan 100 peratus tidak baik. Kita nak
tolak tak boleh, terima tak boleh. Jadi kita ambil berkecuali. Bukan
bermakna Pas sentiasa ambil sikap berkecuali. RUU355 kita sokong. Isu
Akta 164 kita tentang. Kita bersikap rasional kerana sikap kita
sekarang mencerminkan budaya politik matang dan sejahtera.
Alasan ketiga, beliau kecewa pendirian Pas hanya
menyasarkan untuk menang 40 kerusi. Kenapa pula susah hati? Adakah
sepatutnya Pas menang 222 kerusi? Kita kena rasional, 40 adalah sasaran
minimum. Dalam sejarah, paling banyak kita menang 29 kerusi. Kita tahu
kekuatan kita. Ini logik dan munasabah.
Alasan keempat, Pas kini sedang bertindak
memencilkan diri daripada rakyat terbanyak dan tidak mendepani arus
politik perdana. Macam mana dia boleh kata macam itu. Dia mengukur
sambutan terhadap Pas berdasarkan merosotnya jualan Harakah. Sedangkan
zaman sekarang semua media cetak merosot.
Ini satu alasan dibuat-buat. Kalau nak pergi,
pergi sahaja tak payah bagi alasan. Kami tak perlu alasan anda. Saya
dukacita bagi pihak dia, saya ingat dia akan bawa keluar 3,000 ahli,
tapi cuma tiga orang iaitu dia, isteri dan anak. Sebagai ahli Pas 34
tahun, Ahli Parlimen tiga penggal, pernah jadi Naib Presiden Pas, mampu
bawa keluar tiga orang? Malulah.
Sejauh mana tindakan Mahfuz memberi kesan kepada Pas?
Mahfuz ini duduk dalam parti pun tak menjejaskan,
dia keluar pun kita tak terjejas, bak kata pepatah tak ada, tak
mengurang, kalau ada pun tak menambah. Saya terkejut kerana dia baru nak
keluar Pas, tindak-tanduk dia sebelum ini seolah-olah dia bukan ahli
Pas, sebab itu saya setuju pandangan seorang rakan, Mahfuz seorang yang
sesat politik.
Dia duduk dalam parti lain, dia bercakap di pihak
parti lain, dia serbu ahli parti dia, dia sokong parti lain. Macam
sesat. Kita tidak ada perasaan apa-apa bila Mahfuz keluar. Dia ahli Pas
biasa. Dia isytihar keluar ketika dia jadi ahli biasa, bukan sebagai
pemimpin.
Cuma saya nak ingatkan dia, tiga kali dia menang
PRU, semuanya kerana Pas, kerana Pas calonkan dia. Kerana orang Pas
kerja menangkan dia, pengundi Pas pilih dia. Dia menang pada 1999, 2008,
2013 dan kekal dalam sejarah kerana Pas.
Komen Datuk terhadap tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerang dan menyalahkan Pas serta Amanat Hadi.
Serangan Dr. Mahathir terhadap Pas ini bagi kita,
adalah biasa, kalau dia puji Pas, baru luar biasa. Dr. Mahathir ini
tidak pernah tidak serang Pas walaupun setelah PPBM ditubuhkan. Beliau
juga terkenal sebagai individu yang terlalu anti kepada orang agama
termasuk terbaharu menyalahkan mufti insiden Memali 1985.
Dalam beberapa siri rundingan Pas dengan PPBM
sebelum ini, kita nyatakan tidak akan bekerjasama selagi PPBM bersama
Pakatan Harapan. Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan Datuk
Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Presiden sendiri hadir dalam
rundingan itu.
Bagaimanapun, semua keputusan yang dibuat PPBM
masih tertakluk sepenuhnya kepada Pengerusinya, Dr. Mahathir. Itulah
hakikat dalaman PPBM yang sebenar. Kegagalan kerjasama Pas dan PPBM,
salah satu punca utama ialah Dr. Mahathir.
Dalam isu Memali 1985, Dr. Mahathir menyalahkan golongan mufti sehinga menggelar mereka kafir. Apa pandangan Datuk?
Dalam isu Memali, dia salahkan mufti, kalau tanya
semua orang, bukan sahaja Pas, tapi semua orang akan kata benda sama.
‘Apa punya kenyataan dia buat ini?’
Sebenarnya Amanat Hadi itu bukan amanat tetapi
disebut begitu (sahaja). Ia satu kandungan ceramah. Beliau (Abdul Hadi)
sendiri sudah beri kenyataan, beliau punya ceramah 1 jam 40 minit, tapi
dipetik 10 baris sahaja. Adakah logik semua itu? Sudah tentu dia akan
lari dari konteks sebenar. Beliau ada tulis buku juga mengenai Amanat
Hadi dan beri penjelasan di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan