KUALA LUMPUR: Amanah mensasarkan untuk sekurang-kurangnya mendapat 100
kerusi DUN di Semenanjung dan Sabah untuk ditandingi partinya pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Setiausaha Agung parti itu, Mohd Anuar Mohd Tahir menjangkakan partinya
tidak lagi berada pada kedudukan tercorot dalam agihan kerusi sesama
parti komponen Pakatan Harapan (PH).
"Untuk kerusi DUN, tidak semestinya Parti Amanah Negara akan berada di
tangga terakhir dari segi jumlah kerusi yang akan ditandingi.
"Sasaran kerusi yang bakal ditandingi berdasarkan kepada boleh menang
kerana ada negeri kita dapat sehingga 14 kerusi dan ada negeri hanya 10
kerusi. Saya percaya sudah tentu parti akan diberikan sekurang-kurangnya
100 kerusi DUN di seluruh negara," katanya dipetik BH Online.
Anuar berkata, senario agihan kerusi DUN berbeza dengan Parlimen.
Ujarnya peranan Amanah akan diperlukan di beberapa buah negeri,
contohnya Kelantan dan Terengganu.
DAP pula akan mendapat kerusi lebih di Pulau Pinang, manakala di
Selangor pembahagian kerusi akan menjadi lebih seimbang antara empat
parti, ujar Anuar.
Bagi kerusi Parlimen di Semenanjung, Amanah memperoleh 27 kerusi,
manakala PPBM diberi kepercayaan bertanding di 52 kerusi, diikuti PKR
(51) dan DAP (35).
Mengulas lanjut, Mohd Anuar berkata, badan perhubungan empat parti di
setiap negeri perlu menyelesaikan perundingan kerusi DUN sebelum Selasa
depan untuk disahkan di peringkat Majlis Presiden gabungan pakatan
pembangkang.
Katanya, selagi tidak dibawa ke peringkat Majlis Presiden, jumlah yang
diuar-uarkan oleh pihak tertentu berhubung pembahagian kerusi dianggap
tidak rasmi dan belum muktamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan