SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Christina Liew nafi
gagasan itu sudah bersetuju formula agih kerusi 60-40 dengan Parti
Warisan Sabah (Warisan).
Liew berkata formula 60-40 tidak pernah dibangkit mahupun dibincang PH Sabah seterusnya ditawar kepada Warisan.
Penafian Liew itu dibuat kurang 24 jam selepas timbalannya, Stephen Wong mengumumkan formula itu, pada Rabu.
"Formula 60-40 tidak dibangkitkan, tidak dibincangkan atau menjadi
prasyarat dalam rundingan agihan kerusi kami dengan WARISAN," kata Liew
dipetik MalaysiaKini.
Menurut Stephen, Warisan boleh meletakkan 60 peratus calonnya di kerusi
DUN negeri itu dan selebihnya 40 peratus diberikan kepada PH.
Pun begitu, Warisan perlu memberi laluan kepada PH untuk meletakkan
calon di 60 peratus kerusi Parlimen dan parti itu hanya bertanding 40
peratus kerusi berkenaan.
Liew kemudiannya memberitahu setakat ini PH Sabah sedang mengusahakan
untuk Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal dijemput untuk menghadiri
mesyuarat meja bulat mengenai agihan kerusi.
Sejurus selepas kenyataan Wong semalam, Timbalan Presiden WARISAN,
Darrel Leiking menyatakan keraguannya berikutan tawaran itu tidak
disuarakan pihak tertinggi PH.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pemimpin PH Sabah diheret dalam
perang mulut dengan pemimpin Warisan berhubung cara terbaik untuk
meneruskan pakatan pilihan raya.
Sabah adalah satu-satunya negeri di mana PH masih belum memuktamadkan rundingan kerusi Parlimen mereka.
Antarapos sebelum itu melaporkan penganalisis politik, Edwin Michael
menasihati Warisan agar tidak menerima formula 60-40 dalam usaha
pembahagian kerusi dengan PH.
Ujarnya, Warisan adalah parti yang paling layak bertanding di 60 peratus kerusi Parlimen negeri itu, demi masa depan rakyatnya.
"Warisan sendiri perlu hantar pemimpinnya ke Parlimen untuk suarakan
masalah rakyat Sabah. Pemimpin Pakatan Harapan, hanya keluar-masuk ke
Sabah dan tidak benar-benar menjiwai masalah rakyat negeri itu.
"Jika kita lihat, pada sidang Parlimen sebelum ini, adakah wakil
pembangkang begitu agresif membawa masalah rakyat Sabah untuk
dibahaskan? Jadi Warisan sebagai parti rakyat di Sabah perlu bertanding
di 60 kerusi Parlimen, bukannya PH," katanya kepada Antarapos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan