ISMA WEB
KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR)
sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pada Mesyuarat Dasar Monetari
(MPC) berikutan ia memutuskan untuk mengembalikan dasar monetari ke
paras yang wajar dengan ekonomi negara berada pada landasan pertumbuhan
yang menggalakkan.
“Kadar
koridor terendah dan tertinggi bagi OPR, masing-masing dinaikkan kepada
3.00 peratus dan 3.50 peratus,” menurut bank pusat itu dalam kenyataan
di sini, hari ini.
Kali terakhir BNM mengubah kadar utamanya pada Julai 2016 apabila ia mengurangkan 25 mata asas.
“Pada masa
sama, MPC menekankan perlunya tindakan awal diambil untuk memastikan
pendirian dasar monetari adalah wajar untuk membendung peningkatan
risiko yang mungkin timbul daripada kadar faedah yang terlalu rendah
untuk tempoh masa yang lama,” katanya.
Pada kadar
semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal akomodatif, katanya, sambil
menambah MPC akan terus menilai imbangan risiko berhubung prospek
pertumbuhan domestik dan inflasi.
Katanya,
ekonomi global terus bertambah kukuh dengan pertumbuhan kini lebih
mantap dan segerak merentas rantau, manakala perdagangan global terus
mencatat prestasi pertumbuhan yang kukuh.
“Ekonomi
global diunjurkan mencatat pertumbuhan yang lebih pantas pada 2018.
Dalam persekitaran ini, risiko kepada prospek pertumbuhan global adalah
lebih seimbang, menunjukkan ekonomi global yang terus berkembang pada
masa ini,” katanya.
Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini mengesahkan pengukuhan eksport dan aktiviti dalam negeri.
“Melangkah
ke hadapan, momentum pertumbuhan yang teguh ini dijangka berterusan
pada 2018, disokong oleh pertumbuhan global yang lebih mantap dan
limpahan positif daripada sektor luaran kepada ekonomi dalam negeri.
“Permintaan
dalam negeri akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan berikutan
keadaan pendapatan dan pasaran pekerja yang menggalakkan,” katanya.
Prospek
aktiviti pelaburan juga positif, hasil dorongan daripada projek
infrastruktur baharu dan sedang dalam pelaksanaan dan juga perbelanjaan
modal oleh firma berorientasikan eksport dan dalam negeri, kata BNM.
Sektor luaran akan memberikan dorongan tambahan kepada ekonomi. Secara keseluruhan, pertumbuhan dijangka kekal kukuh pada 2018.
Inflasi
keseluruhan berpurata pada 3.7 peratus pada 2017. Purata inflasi
diunjurkan lebih rendah pada 2018, berikutan jangkaan kesan daripada
faktor kos global yang semakin berkurangan.
Ringgit yang semakin kukuh berbanding 2017 akan mengurangkan kos import, katanya.
Pada 3.25
petang, ringgit berada pada 3.8950/9000 berbanding dolar US. Ia dibuka
pada 3.9010/9040 berbanding dolar US daripada 3.9110/9140 semasa ditutup
pada Rabu.
“Harga
tenaga dan komoditi dunia dijangka meningkat lebih tinggi pada 2018.
Bagaimanapun, trajektori inflasi keseluruhan bergantung pada harga
minyak dunia yang akan datang, yang masih amat tidak menentu,” kata BNM.
Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, juga sederhana. Pasaran kewangan domestik terus berdaya tahan.
Ringgit
semakin kukuh, mencerminkan asas-asas ekonomi yang bertambah teguh.
Mudah tunai sistem perbankan terus mencukupi dan institusi kewangan
beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh, katanya
sambil menambah pembiayaan kepada sektor swasta terus meningkat dan
menyokong aktiviti ekonomi. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan