Ahad, 3 September 2017

Tubuh RCI Memali segera agar 'pembunuh' sebenar dibawa ke muka pengadilan - Ulama PAS

Oleh Syed Muaz Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani menegaskan rakyat ingin tahu siapa individu yang menjadi dalang di sebalik peristiwa berdarah Memali, 32 tahun lalu hingga mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota polis.
 
Justeru beliau yakin Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat semula peristiwa yang berlaku pada 1985 itu dan berharap ia mampu memberi pembelaan terhadap mangsa yang terkorban.
 
"Ia tetap menjadi satu dosa yang terpikul oleh pembunuhnya hinggalah pembunuh tersebut meminta maaf terhadap dosa yang dilakukan itu.
 
"Itu selagi mana orang yang mengarahkan atau siapa yang mengarahkan polis supaya menembak mati orang tersebut, dia kena jawab depan Allah nanti," katanya kepada Antarapos.
 
Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985 mengorbankan 18 nyawa dan puluhan lain cedera serta ratusan ditahan di sebuah kampung pedalaman di Kedah.
 
Dalam serangan polis terhadap orang kampung ketika itu, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, terbunuh.
 
Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan perdana menteri ketika peristiwa itu berlaku pada November 1985.
 
Mengulas lanjut tragedi yang berlaku di Baling, Kedah itu, Ahmad Dusuki berkata PAS tetap dengan pendirian mahu kerajaan menubuhkan RCI dan sanggup bekerjasama dalam siasatan berkenaan.
 
"KIta mengalu-alukan, sudah lama sangat kita nak supaya SuruhanjayaDiraja ini dilakukan.
 
"Sudah lama PAS mahunya (siasatan terperinci) bukan sekarang, sejak dulu lagi PAS mahu siasatan terperinci ini," katanya.
 
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat berkata penubuhan RCI itu wajar disegerakan sebagai langkah menjawab pelbagai dakwaan dibuat berkaitan peristiwa Memali.
 
"Jadi apabila ditimbulkan dalam Nothing To Hide oleh seorang pemuda yang bertanyakan soalan tersebut, kita nak supaya perkara itu diteruskanlah.
 
"Bukannya sekarang tapi sejak dulu kita minta," katanya.
 
 

Tiada ulasan: