TAIPING: Hukuman lebih tegas termasuk sebat akan dikenakan ke atas
majikan yang menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata
beliau sudah bertemu dengan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif,
supaya hukuman itu dilaksanakan.
"Saya telah berjumpa dengan Ketua Hakim Negara bagi membincangkan isu
kehakiman dan beliau menyatakan kesediaan serta tindakan tegas, termasuk
hukuman sebat terhadap majikan yang masih berdegil," katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika mengetuai 39 pegawai dan anggota
jabatan itu melakukan operasi menahan PATI di dua tapak pembinaan di
sini dan Kamunting malam tadi hingga awal pagi tadi.
Mustafar berkata, pihaknya turut mengambil tindakan tegas terhadap
majikan yang melindungi PATI termasuk membeku aset syarikat mereka.
Beliau berkata, sehingga jam 11.30 malam tadi seramai 11,500 PATI dan
272 majikan ditahan di seluruh negara kerana melindungi dan menggaji
PATI dalam operasi berterusan dijalankan Jabatan Imigresen sejak
berakhirnya program kad sementara (E-Kad) pada 30 Jun lalu dan operasi
akan dilakukan secara berterusan.
Katanya, operasi di sini yang bermula jam 10.30 malam tadi dan berakhir
lima jam kemudian pula, seramai 139 pekerja warga asing diperiksa dan
45 daripadanya ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan
menyalahguna pas pekerjaan.
"Dalam operasi ini, seramai 39 lelaki dan enam wanita serta dua
kanak-kanak masing-masing berusia satu bulan dan tiga tahun ditahan dan
mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh bagi tujuan dokumentasi sebelum
dibawa ke Depot Imigresen Langkap untuk siasatan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama majikan dan pihak berkuasa
tempatan (PBT) memantau pembinaan rumah kongsi di kawasan tapak
pembinaan di kawasan Taiping yang disifatkan berbahaya untuk diduduki.
"Dari segi pihak kami, Jabatan Imigresen tidak berkompromi dengan PATI
dan terus menjalankan operasi namun dari segi keselamatan pekerja warga
asing, PBT meneliti aspek penempatan mereka.
"Contohnya di kawasan tapak pembinaan yang belum siap, pemaju menyediakan rumah kongsi di tingkat bawah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan