Selasa, 12 September 2017

[KEMASKINI] Pakatan Harapan lantik lagi dua naib presiden

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengumumkan pelantikan M. Kulasegaran (DAP) dan Christian Liew (PKR) sebagai dua lagi naib presiden gagasan itu, sebagai mewakili kaum India dan Sabah.
 
Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan perkara itu dalam sidang media selepas mesyuarat PH lewat petang tadi, tidak pula menjelaskan mengapa baru sekarang pelantikan itu dibuat. 
 
Dengan pelantikan Kulasegaran dan Christian , PH kini mempunya enam orang naib presiden termasuklah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM), Chong Chieng Jien (DAP) dan Salahahuddin Ayub (Amanah).
 
"Naib presiden yang berhormat Kulasegaran, Kulasegaran ini dulu dia menjadi bendahari PH tetapi dia akan kosongkan jawatan itu dan jawatan itu akan dipegang oleh satu lagi ahli baru oleh Majlis Presiden Husam Musa.
 
"Satu lagi Naib Presiden ialah yang berhormat Christina Liew daripada Sabah. Inilah pindaan yang dilakukan sedikit dalam majlis presiden supaya kita dapat mewakili semua kaum di Malaysia," ujarnya dalam sidang media di ibu pejabat Amanah, Batu Caves, hari ini.
 
Dr Mahathir dalam perkembangan lain berkata sehingga kini parti itu masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (RoS) berkaitan permohonan nama dan logo baru parti itu.
 
"Sehingga kini kita tidak dapat apa-apa malumat dengan permohonan kita untuk kelulusan bagi perlembagaan PH dan juga permohonan kita berkenaan logo atau simbol bagi PH.
 
"Kami akan membuat surat permintaan untuk berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri.
 
"Kita bersedia untuk membuat pindaan jika perlu tetapi untuk ini kami yakin bahawa Menteri Dalam Negeri boleh memberi peluang kepda kami untuk mengemukakan pandangan dan mendengar pendapat daripada Timbalan Perdana Menteri akan sebabnya kelulusan belum diberikan kepada permohonan kami untuk perlembagaan PH dan juga logo dan simbol parti kami," ujarnya.
 
Pada 28 Julai lalu, RoS mengarahkan PH menukar logo parti gabungan itu sebelum ia dapat didaftarkan.
 
RoS mahu gabungan pembangkang meletakkan perkataan 'Pakatan Harapan' secara penuh di dalam logo, berbanding perkataan 'Harapan' sahaja.
 
Namun, sehingga kini pertubuhan itu masih belum memberikan sebarang jawapan kepada PH walaupun Pilihan Raya dijangkakan bakal tiba pada bila-bila masa.
 
Presiden Amanah, Mohd Sabu pada sidang media yang sama turut mengumumkan Konvensyen Nasional Amanah yang sepatutnya berlangsung dari 15 hingga 17 September ditunda pada bulan hadapan selepas kemangkatan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, hari ini.
 
Beliau berkata Amanah belum memuktamadkan tarikh baru konvensyen tersebut. 
 
 

Tiada ulasan: