Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan
Kronisme Cynthia Gabriel berkata langkah itu tidak akan berjaya tanpa
perlindungan tukang adu.
PETALING JAYA: Sebuah NGO anti-rasuah tidak yakin rancangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan ganjaran kepada penjawat awam yang melaporkan kes rasuah akan berhasil.
Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme Cynthia Gabriel berkata rancangan itu tidak akan berjaya tanpa meletakkan langkah-langkah perlindungan tukang adu yang secukupnya.
“Ganjaran itu bagus, tetapi hanya akan berhasil jika tukang adu diberi perlindungan secukupnya selepas membuat laporan itu,” katanya, dan menambah sesetengah orang mungkin tidak berminat dengan ganjaran itu kerana mereka benar-benar ikhlas mahu mengekang rasuah.
Aktivis itu berkata demikian selepas Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi berkata penjawat awam yang melaporkan kes rasuah kepada agensi itu akan diberi ganjaran dalam bentuk insentif tunai, menyamai nilai rasuah yang ditawarkan.
Ganjaran itu akan diberikan sekiranya tertuduh disabit jenayah itu.
Sazali menambah setakat ini seorang kakitangan imigresen dan polis sudah menerima ganjaran kerana melaporkan rasuah.
“Ganjaran itu bagi menggalakkan penjawat awam melaporkan kegiatan rasuah sekali gus mampu menghapuskan rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini.”
Cynthia sebelum ini berkata budaya melaporkan salahlaku berisiko dan tidak mengalakkan kerana tukang adu diganggu dan ditahan.
Beliau menyeru SPRM menambahbaik integriti dan kepercayaan orang ramai sebelum berharap orang lain akan tampil memberikan maklumat mengenai rasuah.
“Sekarang ini kewibawaan SPRM mengalami defisit kerana tidak bebas,” katanya, merujuk kepada keengganan agensi itu bertindak ke atas kontroversi 1MDB dan kapal selam Scorpene.
Sementara itu SPRM Sabah mendakwa bekas pengarah Jabatan Air Sabah Awang Mohd Tahir Mohd Talib untuk 12 pertuduhan pengubahan wang membabitkan RM56.9 juta.
Kes menjadi perhatian umum selepas pihak berkuasa menemui RM48 juta wang tunai dalam serbuan ke atas kediaman dan pejabat Tahir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan