Phil Robertson dari Human Rights Watch berkata tidak
syak lagi Najib Razak akan menggunakan kunjungan ke Rumah Putih untuk
menggilap kelayakannya menjelang pilihan raya umum.
KUALA LUMPUR: Dalam bilik yang dipenuhi penjawat awam, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Ramlan Ibrahim mengangkat tangan kanannya sambil membacakan ikrar anti-rasuah.
Beliau antara ribuan pegawai kerajaan seluruh negara yang mengangkat sumpah seperti itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sebahagian daripada kempen anti-rasuah yang diseru oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Rakyat semakin bijak…mereka mahu perkhidmatan awam lebih cekap, telus dan adil,” kata Ramlan selepas acara di Putrajaya itu.
Kempen itu muncul ketika Najib bersiap sedia bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump minggu ini, semasa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan Biro Siasatan Persekutuan (FB) sedang menyiasat 1MDB.
Najib mesti memanggil pilihan raya pada pertengahan 2018 namun beberapa pemerhati mencadangkan beliau mungkin melakukannya tahun ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menangkap berpuluh pegawai tinggi dalam kempen anti-rasuah itu, termasuk pegawai Petronas dan Felda. Lebih 600 tangkapan dilakukan tahun ini menurut data SPRM.
Tindakan itu sesuatu yang ganjil di Malaysia di mana rasuah dilihat berleluasa. Empat daripada 5 rakyat Malaysia berusia 18-35 berkata rasuah isu paling serius yang dihadapi negara, menurut tinjauan bulan lepas oleh Global Shapers Community, sebuah program di bawah Forum Ekonomi Dunia.
Namun pengkritik berkata kempen itu mengabaikan satu isu penting: 1MDB.
Dana milik kerajaan itu disiasat di sekurang-kurangnya 6 negara kerana pengubahan wang dan penggelapan dana, termasuk dakwaan AS$681 juta disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri.
Peguam negara menutup siasatan 1MDB pada Januari 2016 dan membersihkan Najib dari sebarang salahlaku.
DoJ mahu menyiita lebih AS$1.7 bilion aset yang didakwa dibeli dengan dana 1MDB yang dicuri. Saman itu menyatakan antara yang terlibat ialah anak tiri Najib, Riza Aziz dan rakannya, Jho Low.
Dalam fail mahkamah Selasa lepas, FBI yang menjalankan siasatan jenayah mendakwa saksi yang berpotensi dalam kes itu bimbangkan keselamatan diri mereka dan perlukan perlindungan.
Namun siasatan ke atas 1MDB d Malaysia nampaknya seperti ditutup. SPRM mempunyai “satu bilik penuh” fail mengenai 1MDB, kata seorang bekas pegawai SPRM kepada Reuters tetapi agensi itu tidak boleh mengejar siasatan itu apabila peguam negara mengisytiharkan kes ditutup.
Buka semula kes
“Dengan cara ini, kempen ini ialah SPRM cuba tunjukkan agensi itu sedang melakukan tugasnya.
Walaupun mereka tidak berjaya dapatkan pensabitan, SPRM boleh tunjukkan agensi itu melakukan semua yang termampu untuk membanteras rasuah,” kata bekas pegawai itu, yang tidak mahu dinamakan kerana sensitiviti perkara ini.
Pengarah Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel pula berkata SPRM mempunyai “bahan secukupnya” untuk membuka semula kes 1MDB.
SPRM enggan mengulas sama ada agensi itu akan membuka semula siasatan 1MDB.
“Tiada komen, kami sangat adil apabila menyiasat seseorang, walau siapa pun mereka” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya Datuk Azam Baki kepada pemberita di Putrajaya.
Aktivis anti-rasuah khuatir undangan Trump kepada Najib untuk melawat AS mungkin menjejaskan siasatan di negara itu.
“Pengaruh dan kepentingan geopolitik AS nampaknya memberi kesan kepada komitmen kepada melawan rasuah antarabangsa, yang akan menjejaskan masa depan Malaysia dan dunia,” kata Gabriel.
Human Rights Watch (HRW) berkata undangan Trump itu “sangat tidak wajar” memandangkan Najib menggunakan undang-undang untuk menyekat pengkritik.
“Tidak syak lagi Najib akan menggunakan kunjungan ke Rumah Putih untuk menggilap kelayakannya menjelang pilihan raya umum tahun depan, dan menggiatkan lagi kekangan ke atas pengkritik menggunakan sokongan daripada kunjungan itu,” kata Timbalan Pengarah HRW di Asia, Phil Robertson kepada Reuters.
Najib berharap kunjungan itu akan meningkatkan dagangan dan pelaburan untuk Malaysia.
“Saya melihat perkara ini sebagai perkongsian yang memberi manfaat 2 hala,” katanya kepada pemberita pada Jumaat. “Saya berharap AS melihat Malaysia sebagai rakan yang boleh diharapkan dalam isu seperti perdagangan dan pelaburan, keselamatan, anti-pengganas dan saya berharap syarikat AS melihat Malaysia antara negara pelaburan yang terbaik.”
Sumber kerajaan berkata perjanjian pertahanan juga dalam agenda, namun belum ada butiran setakat ini.
Membusuk ke langit
Pimpinan kanan Umno khuatir mereka akan mengalami kekalahan akibat skandal rasuah yang dikaitkan dengan Najib, kata sumber yang sedar akan perbincangaan dalam parti itu.
Melalui kempen SPRM ini, sumber itu berkata parti berharap ia dapat memuaskan hati rakyat yang kecewa dengan rasuah dan menarik balik pelabur asing yang keluar apabila siasatan ke atas 1MDB diperluaskan.
Selain mengalihkan pandangan dari 1MDB, pengkritik berkata Najib menggunakan kempen anti-rasuah SPRM untuk menyasarkan lawan politik seperti Lim Guan Eng, seorang pemimpin pembangkang yang juga pegawai tertinggi di Pulau Pinang. Beliau didakwa salah guna kuasa dalam pembelian sebuah banglo.
“Kamu memburu bermacam jenis kesalahan, tapi yang paling besar, membusuk ke langit,” kata Lim. “Semua orang terbau kecuali kamu.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan