MELAKA: Parti Gerakan bersedia untuk bertukar empat atau lima kerusi
dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain bagi memastikan
kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata bagaimanapun
tindakan itu masih di peringkat perbincangan dan keputusan akhir akan
ditentukan Perdana Menteri yang juga Presiden BN Datuk Seri Najib Tun
Razak.
"Buat masa ini, kita sedang berbincang dengan beberapa parti komponen
BN untuk membuat pertukaran atau pinjaman empat atau lima kerusi yang
sebelum ini ditandingi mereka.
"Kita belum menamakan kerusi tersebut, tetapi ianya membabitkan kerusi
di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di beberapa negeri termasuk
Pulau Pinang," katanya kepada pemberita ketika hadir memberi
penghormatan terakhir kepada Bekas Pengerusi Gerakan Melaka Mendiang
Datuk Lee Ah Fatt di kediamannya di Bukit Baru, di sini.
Lee yang meninggal dunia akibat serangan jantung meninggalkan seorang
balu Datin Soh Geok Mui, 60, dan empat anak. Beliau menghembuskan nafas
terakhirnya di sebuah hotel di Seremban sekitar pukul 6 petang, semalam
sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan
untuk dibedah siasat.
Lee memegang jawatan berkenaan dalam tempoh tujuh tahun bermula 2008 hingga 2015.
Tambah Mah, bangkit daripada kelemahan PRU13, Gerakan telah bekerja
keras dan mengaktifkan organisasi selain memperkukuh hubungan dengan
parti komponen lain bagi memperkuatkan jentera BN secara keseluruhannya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hasrat Gerakan untuk menawan
Pulau Pinang, beliau mengakui negeri yang dikuasai kerusi tradisi
pembangkang itu sukar untuk ditandingi, namun dengan prestasi dan kerja
kuat yang ditonjolkan parti itu, beliau yang juga Menteri Perusahaan
Perladangan dan Komoditi yakin mampu merampas beberapa kerusi di negeri
berkenaan.
"Penggal lepas, sebanyak 45 kerusi DUN dan Parlimen ditandingi Gerakan
dan di Pulau Pinang sahaja, parti ini turut mengambil bahagian di 13
kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen.
"Senarai nama bagi calon pada PRU akan datang yang lebih 50 peratus
muka baharu diketengahkan juga kita telah serahkan kepada pucuk pimpinan
untuk membuat sebarang keputusan rasmi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan