Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Dua pemimpin pembangkang yang baru dilantik sebagai Naib
Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak ubah seperti boneka yang hanya
'menghiasi' senarai kepimpinan gabungan pembangkang itu, dakwa seorang
penganalisis politik.
Pensyarah kanan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Edwin Michael
berkata pelantikan tersebut dibuat semata-mata untuk menyedapkan hati
penyokong mereka selepas mendapat 'tekanan' tertentu demi membuktikan
bahawa PH tetap mengambil berat terhadap dua golongan berkenaan.
"Mereka (sebenarnya) tidak mengiktiraf peranan masyarakat India dan
komuniti di Sabah daripada awal lagi. Mereka terpaksa meletakkan dua
boneka ini semata-mata untuk sedapkan penyokong mereka.
"Baru kini mereka letakkan dua orang yang dikatakan wakil masyarakat India dan masyarakat Sabah. Kenapa sekarang, persoalannya.
"Saya rasa ini kerana tekanan daripada Barisan Nasional (BN) juga,
selepas itu baru mereka sedar bahawa ada sesuatu tertinggal, dan mula
membuat rombakan. Dua boneka ini sekadar menyedapkan mata kononnya
masyarakat India dan kaum etnik di Sabah diberi peranan dalam PH,"
katanya kepada Antarapos.
PH semalam mengumumkan pelantikan M. Kulasegaran (DAP) dan Christina
Liew (PKR) sebagai dua lagi naib presiden gagasan itu, sebagai mewakili
kaum India dan Sabah.
Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan perkara itu
tidak pula menjelaskan mengapa baru sekarang pelantikan itu dibuat.
Dengan pelantikan Kulasegaran dan Christina , PH kini mempunya enam
orang naib presiden termasuklah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR),
Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM), Chong Chieng Jien (DAP) dan
Salahahuddin Ayub (Amanah).
Dalam pada itu, Edwin berkata kewujudan terlalu banyak jawatan dalam
gabungan berkenaan tidak akan memberi makna sekiranya tiada 'blueprint'
jelas yang disediakan sebagai bukti untuk meyakinkan pengundi kepada
gabungan tersebut.
"Misalnya kita lihat Kulasegaran yang dikatakan mewakili kaum India. BN
sudah mempunyai blueprint untuk masyarakat India. Di mana blueprint
untuk masyarakat India daripada Pakatan Harapan? Tiada," kata beliau
lagi.
"Sebab itu saya katakan bahawa blueprint ini sangat penting kerana itu
satu petanda membuktikan parti politik memainkan peranan penting dalam
mengiktiraf sesuatu komuniti," ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan