KUALA LUMPUR: Jenazah Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam
Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, petang
ini.
Almarhum Sultan Abdul Halim , 89, mangkat di Istana Anak Bukit pada
pukul 2.30 petang semalam selepas memerintah Kedah selama 59 tahun.
Jenazah almarhum baginda disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak
Bukit, dari pukul 11 hingga 1.30 tengah hari bagi membolehkan rakyat
dan orang kenamaan memberi penghormatan terakhir.
Sebelum itu pada pukul 10.30 pagi, Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang mengimamkan solat jenazah di dewan sama.
Pada pukul 2.30 petang, pedati khas yang membawa jenazah almarhum
keluar meninggalkan Istana Anak Bukit dan tiba di Makam Diraja Langgar
pada pukul 4 petang.
Sebaik istiadat pemakaman selesai kira- kira pukul 4.45 petang, Syeikh
Fadzil dan Imam Besar Masjid Zahir Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim
mengetuai bacaan talkin, manakala Syeikh Alauddin Abu Bakar memimpin
bacaan tahlil dan doa.
Berangkat sama ke Makam Diraja ialah Sultan Kedah yang baru
dimahsyurkan Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, Tunku
Temenggong Kedah Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim, Tengku
Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Laksamana
Kedah Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Sallehuddin Almarhum
Sultan Badlishah dan Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Turut hadir ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md
Hanipah, barisan Exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kanan negeri.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Rakyat pelbagai lapisan turut ke Makam Diraja Langgar untuk menyaksikan istiadat pemakaman.
Sebanyak 89 das tembakan dilepaskan oleh pasukan artileri bersamaan usia almarhum baginda sehingga jenazah tiba di makam.
Tembakan pertama dilepaskan sebaik pedati keluar meninggalkan istana
dan tembakan terakhir sebaik jenazah tiba di makam pada pukul 4 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan