Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: PAS Pusat belum menerima sebarang makluman rundingan
kerjasama yang dikatakan digerakkan antara PAS dan PKR di peringkat
Selangor.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki bagaimanapun
berkata jika ada pun perbincangan ke arah itu segala keputusannya akan
dibawa ke peringkat PAS Pusat untuk dinilai dan dimuktamadkan.
"Setakat ini kita masih mengekalkan keputusan lama bahawa tahaluf
siyasi dengan PKR sudah terputus. Cuma masih ada ruang dari segi
kerjasama yang tidak terikat, iaitu 'taawun'. Sebagaimana diputuskan
Majlis Syura, PAS sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk
kepentingan Islam.
"Setakat ini saya tak dimaklumkan. Mungkin ada pimpinan PAS Selangor
berbincang atau tidak, namun kita tak dimaklumkan. Jika ada pun mereka
kena mendapatkan mandat PAS Pusat untuk mendapatkan keputusan," ujarnya
kepada Antarapos, hari ini.
Baru-baru ini dikatakan PKR Selangor meneruskan rundingan dengan PAS
untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan saingan
dua penjuru menentang Barisan Nasional (BN) sekurang-kurangnya di
negeri itu.
Naib Presidennya, Dr Xavier Jeyakumar mengesahkan perbincangan PKR
dengan PAS di peringkat negeri terus diusahakan Menteri Besar, Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali namun menegaskan komitmen parti itu kepada
Pakatan Harapan (PH) tidak harus dipersoalkan.
Xavier menjelaskan PKR terus mengusahakan perbincangan dengan PAS bagi
memperolehi sebarang penyelesaian bersabit pengagihan kerusi dalam
menghadapi pilihan raya.
ADUN Seri Andalas itu kemudiannya berkata sekiranya hasil perbincangan
tidak seperti yang diharapkan, PKR tetap bersedia untuk menghadapi
saingan pelbagai penjuru termasuk daripada PAS pada PRU14 kelak.
Xavier menegaskan apa yang penting ialah jangka masa sesuai ditetapkan
untuk mencapai hasil yang disasarkan dalam rundingan PKR-PAS itu.
Untuk rekod, mesyuarat Majlis Presiden PH pada 29 Ogos lepas telah
memuktamadkan bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada
PRU14 dan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pertembungan tiga
penjuru dalam pilihan raya itu.
Bagaimanapun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sepucuk
surat pada 2 September lalu berkata beliau mempersetujui usaha Azmin
berunding dengan PAS dalam membentuk kerjasama bagi menumbangkan
Umno-Barisan Nasional (BN) dalam PRU14.
Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad berkata surat Anwar menimbulkan
"masalah" kepada pakatan pembangkang itu dan usaha akan dilakukan bagi
memastikan PKR berhenti mengadakan rundingan untuk menjalin kerjasama
dengan PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan