Oleh Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Amanah bakal menjadikan Selangor sebagai kubu utamanya
pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan pemimpin utamanya termasuk
presiden parti Mohamad Sabu bertanding dikerusi parlimen dan DUN di
negeri pimpinan PKR itu.
Pengumuman oleh Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim itu
sekaligus memperlihatkan kemungkinan besar calon Amanah bersaing dengan
PAS dibeberapa kerusi utama di Selangor dalam PRU14 yang dijangka
diadakan awal tahun depan.
"Antara mereka yang akan bertanding di Selangor ialah Presiden Amanah
Mohamad Sabu, Naib Presiden Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus, Pengarah
Komunikasi Khalid Samad, Pengarah Strategi Dr Dzulkefli Ahmad, Ketua
AWAN Nasional Dr Siti Mariah Mahmud, Hanipa Maidin dan mereka akan
digandingkan dengan pimpinan Amanah Selangor yang lain termasuk Saari
Sungib dan Hasnul Baharuddin," kata Izham.
Beliau berkata demikian semasa ucaptama Konvensyen Amanah peringkat negeri Selangor pagi tadi.
Untuk rekod sebelum ini, Mohamad Sabu bertanding atas tiket PAS
dikerusi parlimen Pendang pada PRU13 namun tewas manakala Dr Dzulkefli
Ahmad gagal mempertahankan kerusi parlimen Kuala Selangor.
Hanifa, Khalid dan Siti Mariah masing-masing memenang kerusi parlimen
Sepang, Shah Alam dan Kota Raja atas tiket PAS pada PRU13.
Begitu juga Saari (DUN Hulu Kelang) dan Hasnul (DUN Morib).
Kesemua mereka menyertai Amanah setelah keluar daripada parti itu tahun lalu.
PAS Selangor sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding di 42
daripada 56 kerusi DUN, termasuk yang disandang oleh pemimpin Amanah dan
PKR.
Parti itu mengambil ketetapan bahawa kerjasamanya dengan PKR di
Selangor hanya sehingga mandat kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) yang
ada sekarang berakhir dengan pembubaran DUN untuk menghadapi PRU14.
Dalam pada itu, Izham turut menyelar PAS selepas parti itu menolak untuk bekerjasama dengan PH bagi menuju PRU14.
"Kita melihat PAS mempunyai banyak dolak-dalihnya, mereka tidak dapat
bersama kerana ada DAP yang merupakan musuh Islam yang tegar tetapi yang
anehnya DAP yang sama boleh pula dijadikan kawan sejak dua PRU yang
lalu dan sehingga hari ini masih bersama dalam kerajaan negeri
Selangor," kata beliau.
PAS beberapa kali menegaskan ia tidak akan mengikat sebarang kerjasama
dengan PH dan menganggap Amanah dan DAP sebagai dua musuh utamanya
manakala PPBM yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perosak
perpaduan orang Melayu dan Muslimin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan