Ahad, 10 September 2017

Budak 12 tahun melecur 20 peratus disambar api petrol

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Empat sekeluarga termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun melecur kira-kira 20 peratus badan selepas disambar api ketika membersihkan tumpahan petrol di kedai motosikal milik keluarga di Jalan Tebrau, dekat sini, malam tadi.
 
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Saiful Bahri Safar, berkata kanak-kanak terbabit bersama ayahnya berusia 40 tahun, abang (14 tahun) dan kakak (15 tahun) sedang mengemas kedai motosikal selepas waktu operasi perniagaan jam 7 petang.
 
"Sedang sibuk mengemas barang-barang untuk tutup kedai, dipercayai tempat simpanan petrol tertumpah.
 
"Apabila seorang daripada mangsa sedang membersihkan tumpahan petrol itu, dipercayai secara tidak sengaja menyebabkan petrol terbabit terbakar dan menyambar keempat-empat mangsa.
 
"Kejadian menyebabkan kanak-kanak itu melecur pada kedua belah kaki hingga ke paras peha.
 
"Ayahnya tidak mengalami kecederaan teruk tetapi dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Sultan Ismail kerana sesak nafas," katanya dipetik BH Online.
 
Saiful Bahri berkata, kakak dan abang kanak-kanak itu cedera di kaki dan tapak kaki serta ditempatkan di hospital sama untuk rawatan lanjut.
 
Katanya, operasi membabitkan lapan pegawai dan anggota itu ditamatkan pada jam 8.15 malam, selain kebakaran tidak membabitkan struktur bangunan kedai terbabit.
 
 

Tiada ulasan: