Rabu, 6 September 2017

Dr M: Sabah, Sarawak tidak lagi berharap pada BN


PKR_Sabah

KEADILAN DAILY


Barisan Nasional (BN) tidak lagi boleh bergantung kepada kerusi Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana dua negeri itu tidak lagi berharap kepada Putrajaya, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Sabah dan Sarawak bukan lagi deposit tetap untuk BN. Mereka kini lebih prihatin untuk negeri mereka sendiri.

“Saya katakan begini kerana kerajaan sangat lemah dan tidak boleh memenuhi kehendak Sabah dan Sarawak. Tetapi sewaktu zaman saya (jadi perdana menteri) mereka 100% bersama kerajaan,” katanya memetik laporan eksklusif The Malaysian Insight.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), menjawab soalan tentang perancangan gabungan itu untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi di dua negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut Dr Mahathir, walaupun Sabah dan Sarawak tidak cenderung untuk berpisah dari Malaysia namun hakikatnya mereka masih lagi rasa terasing.

“Kita kena terima hakikat yang mereka tidak fikir mereka adalah sebahagian daripada Malaysia. Kita kena benarkan mereka cari kekuatan dan apa mereka boleh buat untuk diri mereka, tetapi pada masa sama kita mahu mereka jadi sebahagian daripada Malaysia.

“Setakat ini, mereka tidak tunjukkan kecenderungan untuk berpisah (keluar dari Malaysia),” kata Dr Mahathir lagi.

Tiada ulasan: