Friday, December 4, 2009

SPRM panggil saksi kes setiausaha politik menteri

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil beberapa saksi untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan setiausaha politik kepada seorang menteri.

Difahamkan, siasatan kes itu masih di peringkat awal dan beberapa saksi telah dipanggil memberi keterangan hari ini.

Bagaimanapun, status siasatan dan bilangan saksi yang telah dipanggil itu tidak didedahkan.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati, setiausaha politik berusia lewat 30-an itu dikatakan memiliki empat unit hartanah dan sekurangkurangnya tiga kereta mewah yang keseluruhannya bernilai jutaan ringgit.

Dipercayai, kesemua aset tersebut merupakan hasil imbuhan tender-tender yang diuruskan setiausaha berkenaan.

Difahamkan, SPRM dalam proses menyita hartanah dan kenderaan mewah milik lelaki tersebut.

"Beberapa akaun bank turut disita bagi membantu siasatan, bagaimanapun status siasatan belum diketahui.

"Selain menyita aset-aset terbabit, beberapa orang saksi telah dipanggil memberi keterangan," kata sumber itu.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan, seorang setiausaha politik kepada menteri kanan sedang disiasat SPRM kerana dipercayai memiliki aset dan hartanah bernilai jutaan ringgit dalam tempoh singkat.

Sementara itu, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa proses siasatan tertakluk kepada kerahsiaan.

"Merujuk laporan akhbar berbahasa Inggeris hari ini, SPRM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tersebut.

No comments: