UTUSAN ONLINE
PULAU PINANG - Penularan kes Influenza A (H1N1) di negara ini tetap terkawal meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kes itu meningkat sebanyak 95 peratus di peringkat dunia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mengambil ringan perkara tersebut sejajar dengan usaha memastikan gelombang kedua virus berkenaan tidak menyerang negara ini.
Beliau berkata, ketika ini 10 orang disahkan positif H1N1, empat daripadanya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana tiga daripadanya terdiri daripada kumpulan yang berisiko tinggi.
"Laporan mingguan kementerian mengenai H1N1 dari 22 hingga 28 November merekodkan seramai 589 orang dimasukkan ke hospital dan daripada jumlah itu 573 orang telah pun dibenarkan pulang ke rumah.
"Sehingga hari ini juga tiada kematian baru disebabkan penyakit itu dilaporkan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia dan Persidangan HIV/AIDS 2009 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Turut hadir Penasihat Majlis AIDS Kebangsaan, Datin Paduka Marina Mahathir; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Teh Lei Choo dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Ismail Baba.
Tambah Tiong Lai, sejak penularan virus H1N1 dikesan di negara ini pada 15 Mei 2009 hingga ke hari ini, sebanyak 12,210 kes telah dilaporkan dan sebanyak 77 kematian dicatatkan.
Kes kematian terakhir dilaporkan pada awal September lalu.
Add to Google
No comments:
Post a Comment