|
|
PUTRAJAYA - Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah mengingatkan umat Islam agar menyelesaikan segala bentuk perbezaan pendapat yang boleh merugikan dan memecahbelahkan ummah dengan cara baik serta bijaksana.
Baginda yang juga Sultan Kedah bertitah, hanya melalui kekukuhan ikatan ukhuwah dapat memastikan kelangsungan ummah yang utuh.
Tegas baginda, semua pihak perlu memainkan peranan agar hasrat tersebut tercapai.
"Melihat kepada senario hari ini, umat Islam perlu kembali kepada kekuatan persaudaraan yang sebenar.
"Umat Islam hendaklah sentiasa menanam rasa kasih dan sayang di antara satu sama lain," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis perhimpunan sambutan Maal Hijrah 1431H/2009M peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Tema sambutan pada kali ini adalah Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tuanku Abdul Halim bertitah, umat Islam perlu meletakkan kepentingan syariat mengatasi segala-galanya kerana hanya dengan cara itu mereka akan terselamat daripada pelbagai gangguan, tohmahan, pergeseran dan perpecahan.
"Setiap anggota masyarakat mesti merasa bertanggungjawab untuk bersama membina kesatuan ummah yang melangkaui kepentingan diri atau kelompok," titah baginda.
Titah baginda, umat Islam masa kini mesti membina jati diri yang unggul, memiliki dan mengamalkan sifat mahmudah serta menjauhkan semua sifat mazmumah.
Baginda bertitah, umat Islam yang terbaik ialah mereka yang dapat mengamalkan segala ciri, sifat dan akhlak terbaik yang ada pada Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.
"Contohilah sikap, semangat dan kepimpinan yang telah dijana oleh baginda yang telah terbukti mampu menghasilkan keadilan, ketulusan dan kebenaran.
"Oleh itu, umat Islam sekarang mesti bekerja keras untuk menguasai segala kekuatan, kehebatan dan keunggulan yang pernah dimiliki oleh umat Islam dulu," titah baginda.
Justeru, titah baginda, suatu transformasi perlu dirancang, diteliti, dikaji dan dilaksanakan bagi membuat anjakan yang mampu membina, mengangkat dan memartabatkan semula umat Islam ke persada keagungan.
Pada majlis itu, Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor, 68, dan Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi, 83, dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H/2009M.
Kedua-dua mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, plak, pingat dan sijil penghargaan.
No comments:
Post a Comment