UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menetapkan definisi kemiskinan yang selaras dengan cara hanya meletakkannya di bawah Bank Data Kemiskinan Negara (e-Kasih) bertujuan memudahkan penyaluran bantuan kepada golongan miskin.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pada masa ini data e-Kasih mencatatkan 49,413 keluarga miskin tegar, 68,033 keluarga miskin dan 2.1 juta keluarga berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, katanya, pada masa ini definisi dan data mengenai kemiskinan berubah-ubah mengikut kementerian, jabatan dan negeri.
Jelasnya, definisi keluarga miskin tegar perlu diselaraskan kepada mereka yang berpendapatan RM440 ke bawah, keluarga miskin RM750 ke bawah dan berpendapatan rendah RM2,000 ke bawah.
“Keadaan itu menyukarkan kerajaan mengetahui jumlah sebenar keluarga miskin kerana mereka mungkin didaftarkan di bawah lebih satu agensi.
“Sehubungan itu, kerajaan harus meluluskan penyelarasan data maklumat mengenai golongan miskin di negara ini melalui penggunaan Unit Implementasi dan Pelaksanaan (ICU),” katanya.
Shahrizat berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kepong di Taman Beringin Kepong di sini hari ini.
Majlis yang dihadiri lebih 500 penduduk dari kawasan sekitar Kepong itu bertujuan merapatkan hubungan silaturahim.
No comments:
Post a Comment