Wednesday, December 16, 2009

Penduduk lantik peguam urus isu kubur

Abdul Rahim Sabri


Persatuan Tamilar Kuala Ketil telah melantik peguam P Uthayakumar bagi membantu mereka menyelesaikan isu pemindahan perkuburan Hindu di Ladang Batu Pekaka, Kuala Ketil yang akan dijadikan tapak pembinaan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) - milik penuh kerajaan negeri Kedah.

Perkara itu disahkan oleh pengerusinya, Raj Maniyan Varathan. Ketika dihubungi Malaysiakini, Uthayakumar yang juga bekas tahanan ISA berkata, beliau akan meminta penjelasan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak terhadap surat yang dihantarnya Khamis lalu.

Uthayakumar yang juga setiausaha Parti Hak Asasi Manusia (HPR) berkata, beliau akan menghantar surat untuk meminta penjelasan menteri besar itu, hari ini.

"Kita masih belum menerima jawapan daripada menteri besar (terhadap surat sebelumnya) dan saya telah menghubungi pembantunya, yang mengesahkan telah menerima surat tersebut.

"Kita meminta jawapan terus daripada menteri besar, kerana beliau sahaja yang mempunyai kuasa berhubung isu tanah ini," katanya.

Menurut Uthayakumar, menteri besar mempunyai kuasa mutlak berkaitan tanah di negeri itu, mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara 1963 dan Akta Pengambilan Tanah.

Sabtu lalu, lebih 300 penduduk termasuk waris ahli keluarga mereka yang dikebumikan di perkuburan Hindu itu membantah rancangan kerajaan Kedah untuk memindahkan perkuburan tersebut.

Mereka membantah pemindahan tersebut kerana mendakwa perkuburan berkenaan sudah wujud lebih 70 tahun lalu.

Kelmarin Exco Kedah S Manikumar dilaporkan berkata kerajaan Kedah akan tetap meneruskan pembinaan KUIN di tapak yang merangkumi kawasan perkuburan Hindu itu.

Beliau, yang juga ADUN Bukit Selambau menyerahkan urusan pemindahan kubur itu kepada pemaju yang dilantik membina KUIN - Bina Darul Aman Berhad (BDB), yang juga anak syarikat kerajaan negeri.

No comments: