Wednesday, December 16, 2009

BTN: DAP lancar undian di Internet

MALAYSIA KINI


DAP Pulau Pinang melancarkan undian di internet berhubung isu Biro Tatanegara (BTN) mulai hari ini.

Undian tersebut yang dibuat melalui laman webnya untuk membolehkan orang ramai mengemukakan pandangan mereka mengenainya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Publisisi DAP Pulau Pinang, Ng Wei Aik berkata orang ramai diberi tiga jawapan pilihan terhadap soalan 'Apakah pandangan anda terhadap isu BTN (Biro Tatanegara)?'.

Tiga jawapan pilihan tersebut ialah:

1. Ini bukan isu langsung, tidak perlu sebarang perubahan.

2. Ubahsuaikan kursus-kursus yang berkontroversi.

3. Memansuhkan BTN.

Katanya, walaupun perdana menteri berkata beliau sendiri akan mengkaji semula modul BTN itu, tetapi ia tidak mengubah persepsi awam bahawa BTN merupakan alat BN untuk mencuci otak rakyat jelata.

"Jikalau Datuk Seri Najib Tun Razak hanya setakat mempergiatkan elemen 1Malaysia dalam modul BTN tanpa membubarkan BTN, adakah ini merupakan jalan penyelesaian yang terbaik dan boleh diterima oleh semua rakyat jelata?

"Maka, adalah lebih baik bagi rakyat jelata membuat pilihan mereka melalui undian di internet supaya kita dapat sama-sama menentukan nasib BTN untuk kepentingan nasional," katanya.

Menurut Ng, undian di internet tersebut akan bermula hari ini sehingga perdana menteri dapat membuat sesuatu keputusan terhadap kelangsungan BTN.

"Kami mempelawa rakyat jelata tanpa mengira bangsa, agama, jantina dan latar belakang politik untuk menyertai undian di internet tersebut serta mengemukakan komen atau pandangan yang bernas dalam laman web tersebut," katanya.

No comments: