Monday, December 21, 2009

'Orang dalam' dikenakan tindakan

Oleh AZIAN AZIZ


KUALA LANGAT - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah mengambil tindakan terhadap 'orang dalam' yang terlibat dalam kes kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E bernilai kira-kira RM50 juta milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau berkata, tindakan terhadap kakitangan dan pegawai itu diambil berdasarkan senarai nama yang diberikan pihak polis yang melakukan siasatan kes tersebut.

Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mengulas bentuk tindakan yang dikenakan dan bilangan kakitangan serta pegawai TUDM yang terlibat.

''Kita telah ambil tindakan. Saya tidak boleh sebut jenis tindakan kerana tidak mahu menyukarkan siasatan polis.

''Tindakan diambil berdasarkan senarai nama yang diberikan polis kepada kita. Memang ada pembabitan orang dalam tetapi berapa ramai yang terbabit itu sudah dikira dalam bidang kuasa polis,'' katanya kepada pemberita selepas melawat limbungan kapal, NGV Tech Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Ditanya kemungkinan ada komponen lain telah dijual selain enjin, Ahmad Zahid berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk membongkar perkara itu.

Beliau menjelaskan, kerajaan tidak berniat menyembunyikan kehilangan enjin GEJ85-21A itu yang berlaku pada 2007 tetapi mahu memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan dan menangkap dalang yang melakukan jenayah itu.

Katanya, kejadian itu juga tidak boleh didedahkan awal kerana bimbang penjenayah terbabit melarikan diri, sekali gus menyukarkan polis menyelesaikan siasatan.

''Kini siasatan telah selesai dan polis sedang bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

''Kita yakin dengan kemampuan polis menyelesaikan kes kehilangan enjin pesawat ini,'' jelasnya.

Ahmad Zahid memberitahu, enjin F-5E itu yang sudah dijual ke negara lain tidak boleh diambil balik tetapi TUDM akan menggunakan dokumen dan bukti yang ada untuk tindakan selanjutnya.

Akhbar semalam melaporkan polis menahan empat orang termasuk pegawai TUDM berhubung kehilangan enjin pesawat tersebut dari Gudang Material Udara I (Matra I), Pangkalan Udara Kuala Lumpur ketika dibaik pulih pada akhir tahun lalu.

Berikutan itu, 18 individu dipanggil bagi membantu siasatan yang membawa kepada kejayaan mengenal pasti empat suspek termasuk penjual dan pembelinya.

No comments: