Monday, December 21, 2009

Kalau betul bernikah... betullah - Zizie

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Pelakon Zizie Izette tidak menafi atau mengiakan pengakuan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin berhubung pernikahannya dengan aktres itu sebagaimana disiarkan oleh sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris hari ini.

Sebaliknya, pelakon berusia 31 tahun itu meminta media massa bersabar dan memberi tempoh kepadanya untuk menjelaskan persoalan itu pada sidang akhbar yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Saya tidak mahu komen berhubung berita yang keluar dalam surat khabar ini atau pun mana-mana juga berita tentang hubungan saya dengan Datuk (Bung Moktar). Buat masa ini biarlah dia sahaja yang keluarkan kenyataan.

"Kalau betul (bernikah) betullah, hendak buat macam mana? Tetapi bagi pihak saya, saya tidak mahu komen apa-apa. Terpulanglah apa andaian orang ramai sekalipun," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semasa dihubungi, Zizie yang berada di lokasi penggambaran drama bersiri Suraya di Klang, Selangor berkata, dia mengambil keputusan itu bukan kerana malu atau takut sebaliknya mahu meredakan keadaan.

Sementara itu, ibu Zizie, Kathy Fauziah juga enggan mendedahkan status hubungan anaknya dan Bung Mokhtar kerana mahu pengakuan itu datangnya daripada tuan empunya badan Ahli Parlimen dari Sabah tersebut.

"Saya tidak mahu komen apa-apa. Kalau hendak tahu tanyalah Zizie sendiri kerana dia bukannya budak berumur 18 tahun ke bawah tetapi dia sudah berumur 31 tahun. Dia sudah boleh buat keputusannya sendiri. Tanyalah dia sendiri," komennya.

Sungguhpun begitu, Kathy tidak menafikan jika keadaan berlarutan, beliau akan membuat satu sidang media khas bagi menjelaskan status hubungan anaknya dan ahli politik terbabit.

"Saya berjanji pada awal tahun depan kami akan mengadakan satu sidang akhbar. Saya harap anda dan yang lain-lain bersabar kerana sekejap sahaja lagi sudah hendak masuk tahun 2010," ujarnya.

No comments: