Monday, December 14, 2009

Mesyuarat tentukan nasib Hassan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Disiplin Pas akan bermesyuarat minggu depan menentukan sama ada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali perlu dikenakan tindakan disiplin atau tidak.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Hassan yang juga Exco Kerajaan Selangor sudah menjawab pertuduhan dilemparkan kepadanya.

“Beliau (Hassan) sudah menjawab pertuduhan dilemparkan terhadapnya dan jawatankuasa akan bermesyuarat bagi meneliti jawapan diberikannya sebelum kita membuat keputusan.

“Saya menjangkakan minggu depan jawatankuasa akan membuat keputusan, sama ada mahu memanggil Hassan ataupun mengenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, Hassan diberi surat tunjuk sebab kerana didakwa menyokong penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno. Bagaimanapun siasatan itu tertangguh sementara kerana Tuan Ibrahim menunaikan haji.

Selain Hassan, jawatankuasa disiplin turut mendedahkan dua lagi pemimpin Pas disiasat jawatankuasa disiplin berkenaan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sebelum ini berkata, Pas menyerahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemimpin berkenaan.

No comments: