Oleh Khairul Anuar Abdul Samad, Hanneeyzah Bariah Baharin, Nor Akmah Youp, Irwan Shafrizan Ismail, Abdul Rahman Adam dan Khairunnisa Kamarudin
KUALA LUMPUR: Johor dan Terengganu sedia mengikut jejak langkah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menaikkan mas kahwin daripada RM80 kepada RM300, manakala beberapa negeri lain mengekalkan kadar sedia ada.
Di JOHOR, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot, berkata sudah tiba masanya jabatan agama di seluruh negara mengubah semula mas kahwin seiring peredaran zaman.
“Di negeri ini, memang ada perancangan untuk membincangkan kadar mas kahwin yang sudah diguna pakai lebih 70 tahun.
“Mas kahwin ialah pemberian istimewa bakal suami serta hak pengantin perempuan, jadi ia perlu diletakkan dengan nilai istimewa,” katanya, di sini.
Di KUALA TERENGGANU, langkah Jais menetapkan mas kahwin RM300 wajar diikuti negeri lain supaya kadarnya diselaraskan serta mengelak kekeliruan kepada bakal pengantin.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata kerajaan negeri sedia mempertimbangkan cadangan menyelaraskan kadar mas kahwin, bagaimanapun ia tertakluk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu.
Di KUANTAN, Pahang tidak bercadang mengikut langkah Selangor sebaliknya kadar RM22.50 bagi negeri ini akan dikekalkan.
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, berkata buat masa tidak ada pihak mencadangkan mas kahwin di negeri ini dinaikkan.
Di KUCHING, Jabatan Agama Islam Sarawak tidak bercadang menaikkan mas kahwin.
Pembantu Hal Ehwal Agama Islam Bahagian Undang-Undang Syarienya, Sakinah Harun, berkata perkara itu pernah dibincangkan dan pihaknya memutuskan tidak menaikkan mas kahwin yang kini pada kadar mas RM120.
Di PULAU PINANG, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Sazali Hussein, berkata setakat ini negeri terbabit tidak mempunyai kadar tetap mas kahwin.
“Kita tidak bercadang menggubal dasar baru berkenaan perkara itu pada masa terdekat ini,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong kenaikan mas kahwin dan mahu kadarnya ditetapkan sama rata antara dara dan janda.
Presidennya, Mohamad Isa Abd Ralip, berkata Pahang patut dicontohi kerana tidak membezakan mas kahwin.
Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) pula menyifatkan kenaikan mas kahwin di Selangor tidak membebankan dan pengiktirafan kepada wanita.
Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar, berkata beliau tidak bersetuju kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mendakwa, anak dara tua meningkat ekoran kenaikan mas kahwin.
No comments:
Post a Comment