SABAH DAILY
R.S. Thanenthiran, presiden Parti Makkal Sakti yang dilancarkan dua bulan lalu, memberi amaran kepada kumpulan bertelagah dalam partinya bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap enam ahli jawatankuasa pusat termasuk timbalan presiden kerana terus mencemarkan imej beliau.
Kumpulan diterajui timbalan presiden A. Vathemurthy itu tetap mahu mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasa pusat (CC) Sabtu ini walaupun Thanenthiran semalam menegaskan pertemuan itu telah dibatalkan manakala pejabat mereka akan dikunci.
Salah satu agenda mesyuarat yang dipanggil Vathemurthy itu ialah membahaskan usul undi tidak percaya kepimpinan Thanenthiran.
Thanenthiran telah membatalkan mesyuarat Sabtu ini semalam — yang ketiga sejak awal bulan ini.
“Sudah tiga kali beliau (Thanenthiran) telah menangguhkan dan membatalkan mesyuarat ahli jawatankuasa pusat.
“Beliau tidak berani untuk berhadapan dengan kami, jika benar apa yang didakwa beliau betul (ada pengaruh dalam parti dan tindakannya betul) datang Sabtu ini untuk menjelaskan kepada kami,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu sepatutnya diadakan 3 Dis lalu tetapi dibatalkan pada minit-minit terakhir.
Mesyuarat yang awalnya dijadualkan semalam ditangguhkan ke Sabtu ini tetapi ia dibatalkan oleh Thanenthiran atas alasan keselamatan dan kerana bimbang tidak cukup kehadiran memandangkan ramai ahli jawatankuasa berada di luar kawasan dan luar negara.
Kedua-dua presiden dan timbalan presiden masing-masing mendakwa mempunyai sokongan 15 daripada 27 ahli jawatankuasa pusat.
“Thanenthiran sudah tiga kali menangguhkan mesyuarat. Kami tidak mahu beliau berbuat demikian lagi.
“Kami akan tetap adakan mesyuarat di tempat yang sama (ibu pejabat Makkal Sakti di Shah Alam), tarikh dan masa yang sama.
“Sama ada beliau hadir atau tidak, kami akan teruskan mesyuarat. Kami ada cukup sokongan, dan setiausaha agung juga telah bersetuju untuk hadir,” katanya lagi.
Vathemurthy menambah pihaknya akan membahaskan usul undi tidak percaya ke atas kepimpinan Thanenthiran dan sama ada ia akan diterima atau tidak bergantung pada penjelasan presiden sendiri.
“Usul itu cuma satu agenda dan kita akan bahaskan. Jika penjelasan Thanenthiran memuaskan dan dapat diterima, maka usul akan ditolak.
“Terima atau tolak bergantung pada jawapan Thanenthiran, jadi beliau perlu datang untuk memberi penjelasan dan berhadapan dengan kami,” katanya.
Semalam Thanenthiran memberi amaran kepada kumpulan bertelagah dalam partinya bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap enam ahli jawatankuasa pusat termasuk timbalan presiden kerana terus mencemarkan imej beliau.
Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada ahli jawatankuasa pusat untuk membuat keputusan akhir.
“Saya tidak pasti sama ada sebagai presiden saya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap timbalan saya tetapi saya menyerahkan kepada jawatankuasa pusat untuk memutuskan,” kata beliau.
Parti itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Oktober lalu.
Dua minggu lalu sekumpulan ahli jawatankuasa pusat yang diketuai Vathemurthy, yang mendakwa mempunyai sokongan lebih 15 ahli jawatankuasa pusat, mahu Thanenthiran meletakkan jawatan sebagai presiden dengan segera.
Sebelum ini Thanenthiran menyifatkan sudah wujud konspirasi untuk menjatuhkan beliau dari memimpin Makkal Sakti.
Pada sidang media semalam, yang pertama sejak kumpulan pencabar itu memberi kata dua agar meletakkan jawatan, Thanenthiran berkata, jawatankuasa pusat tiada kuasa untuk meluluskan usul tidak percaya ke atas beliau.
Menurut Thanenthiran, mesyuarat ahli jawatankuasa pusat akan datang dijadual diadakan pertengahan Januari depan sebaik sahaja beliau pulang dari India.
Thanenthiran masih percaya pada usaha untuk mengadakan perbincangan hati ke hati dengan Vathemurthy dan kumpulannya untuk menyelesaikan krisis tersebut. -MI
No comments:
Post a Comment