Saturday, December 19, 2009

Bayi tabung uji pertama Kedah

SINAR HARIAN ONLINE



ALOR SETAR - Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) melakarkan sejarah apabila berjaya menghasilkan bayi tabung uji (IVF) pertama di Kedah melalui kaedah Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI) pada 6 Disember lalu.

Pakar Perunding Perubatan Reproduktif, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HSB, Dr Murizah Mohd Zain berkata, kejayaan itu adalah pertama kali selepas tertubuhnya Unit Kesihatan Reproduksi sejak Februari 2008.

Menurutnya, bayi pertama, yang berjaya dilahirkan melalui kaedah bayi tabung uji itu adalah bayi lelaki, Muhammad Afif Syahmi Md Sukri daripada pasangan Md Sukri Ramli, 34, dan Zunnurain @ Noraini Ramlan,35 dari Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang yang dilahirkan melalui kaedah caesarean.

Pada 10 Disember lalu, bayi kembar tiga (dua lelaki dan seorang perempuan) dilahirkan empat hari selepas itu dengan kaedah sama.

“Kejayaan ini adalah pencapaian yang memberangsangkan bagi unit tersebut melalui hasil teknologi terkini,” katanya pada sidang media kelahiran bayi pertama tabung uji HSB di sini, semalam.

Perkhidmatan IVF dimulakan pada 22 Mac lalu dan HSB adalah hospital kerajaan kedua yang menawarkan perkhidmatan itu selain Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, sehingga November 2009, iaitu dalam tempoh sembilan bulan sejak ditubuhkan, sebanyak 47 kes telah menjalani prosedur IVF dan daripada jumlah itu sebanyak 44 kes berjaya ke peringkat pemindahan janin.

Menurutnya, daripada 44 kes, sebanyak 13 kes telah disahkan hamil dan selepas kejayaan pertama, kelahiran bayi tabung uji kedua iaitu pasangan kembar tiga berjaya dilahirkan 10 Disember lalu.

Dr Murizah berkata, antara kriteria pesakit yang layak untuk mendapatkan rawatan kaedah IVF itu adalah wanita berumur kurang 43 tahun, pasangan berkahwin yang tidak mempunyai zuriat, pasangan berkahwin kali kedua yang tidak mempunyai zuriat dan pesakit yang tidak mempunyai sebarang risiko jika hamil selain warga Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menyarankan pasangan yang telah berkahwin lebih setahun dan masih tidak mendapat zuriat supaya mendapatkan rawatan segera bagi mengenal pasti masalah dihadapi.

Sementara itu, Pengarah HSB, Dr Juita Ghazalie berkata, beliau bangga dengan pencapaian HSB kerana berjaya menghasilkan bayi tabung uji walaupun masih baru.

No comments: