Monday, December 21, 2009

Kakitangan Jais balik kampung jatuh gaung

BERITA HARIAN ONLINE


BENTONG: Seorang pembantu tadbir terbunuh selepas kereta Proton Wira Aeroback dipandunya terjunam gaung di Kilometer 12, Jalan Bentong-Raub, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, mangsa, Muhamad Al-Amin Nulhaq Muhamad @ Nawi, 23, berasal dari Pulau Chondong, Kelantan dan bertugas di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman, berkata ketika kejadian mangsa memandu seorang diri dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampungnya di Kelantan.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum kereta dipandunya berpusing dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar besi penghadang jalan.

"Kereta mangsa kemudian terjunam kira-kira 30 meter ke dalam gaung mengakibatkan mangsa tersepit sebelum dikeluarkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Rosli berkata, anggota bomba terpaksa mengambil masa lebih 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum trak penunda menarik kereta mangsa ke tebing.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bentong (HB) untuk bedah siasat dijalankan sebelum dituntut ahli keluarganya.

"Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

1 comment:

Dunia Hobiku said...

dia kakitangan JAWI la...pembantu hal ehwal islam... akhbar pun sebar berita tak betul..