Monday, December 21, 2009

Gerakan mahu Umno akur persetujuan 35 tahun lalu

Oleh Fazli Abdullah, Faiza Zainudin, Nasir Abd Wahab dan Tuan Nazuri Tuan Ismail


KUALA LUMPUR: Umno perlu menghormati keputusan yang dibuat kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) yang mengiktiraf Gerakan sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang sejak 35 tahun lalu.

Naib Presiden Gerakan, Senator A Kohilan Pillay, berkata pengiktirafan itu tidak perlu dipersoalkan mana-mana komponen parti BN kerana ia sudah mencapai kata sepakat antara pucuk pemimpin BN sejak parti itu bergabung.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Selangor berkata, walaupun keputusan itu tidak termaktub dalam perlembagaan parti, ia sudah mencapai persefahaman yang jelas dan menjadi panduan kepada pemimpin BN selama ini.

“BN Pusat yang lantik Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang untuk terus mentadbir, bukan Gerakan yang lantik dan pelantikan ini dipersetujui Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita kena hormati keputusan itu dan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Gerakan untuk terus menerajui Pulau Pinang, tidak kira pada masa parti itu kalah atau menang besar pada pilihan raya,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas desakan Umno Pulau Pinang yang menuntut jawatan Pengerusi BN negeri yang diperuntukkan kepada Gerakan diserahkan semula kepada Umno bagi memantapkan kedudukan BN di negeri berkenaan.

Umno Pulau Pinang menjelaskan tuntutan itu wajar bagi memantapkan kedudukan BN negeri memandangkan Gerakan dan komponen BN lain kini tidak mempunyai kerusi berbanding Umno yang memiliki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri dan dua Parlimen.

Di SELANGOR, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tuntutan Umno Pulau Pinang itu berasas kerana Gerakan gagal menjalankan program untuk menarik semula sokongan rakyat selepas kalah teruk pada pilihan raya umum lalu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan, berkata Umno Pulau Pinang tidak puas hati dengan Gerakan yang langsung tidak menjalankan program memastikan BN kembali menawan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Jika Gerakan boleh teruskan dengan program yang bagus, Umno Pulau Pinang boleh bantu. Soalnya lepas kalah pilihan raya, Gerakan tak buat apa-apa program.

“Ini yang ketua Umno bahagian berasakan kalau Gerakan tak boleh buat kerja, biar mereka yang buat kerja,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke limbungan kapal, NGV Tech Sdn Bhd di Sijangkang, Hulu Langat.

Di GEORGETOWN, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, berkata Gerakan tiada hak menolak tuntutan Umno Pulau Pinang dan menegaskan hanya Najib berhak membuat keputusan kerana ia hak Perdana Menteri selaku Pengerusi BN.

“Datuk Seri Najib mempunyai kuasa untuk melantik dan menggantikan Pengerusi BN negeri dan kami menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri membuat pertimbangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Di MELAKA, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata Umno negeri menyokong tuntutan Umno Pulau Pinang kerana melihat gerak kerja Gerakan bagaikan hilang fokus dalam menjaga kepentingan rakyat dan perkara itu terbukti pada keputusan pilihan raya umum lalu.

“Saya setuju cadangan itu kerana baik Umno atau parti komponen lain patut terus bekerja keras mengutamakan rakyat, jangan hampir tarikh pilihan raya baru nak mulakan kerja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mahu Dewan Tertinggi BN membincangkan cadangan itu secara menyeluruh kerana rakyat memerlukan kepemimpinan BN yang kuat.

“Kita perlu bersandarkan realiti 11 kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen di negeri itu yang dimenangi BN menerusi Umno,” katanya selepas merasmikan Penutupan Kursus Praperkahwinan sempena Maal Hijrah 1431 Hijrah, semalam.

No comments: