Saturday, December 5, 2009

BN bakal berdepan laluan sukar

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Kerajaan Barisan Nasional (BN) bakal berdepan laluan sukar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tanpa kajian menyeluruh.

Pensyarah Ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Amir Baharudin berkata, GST memberi implikasi cukup besar berikutan taraf hidup semakin tinggi ketika ini.

Katanya, pelaksanaan cukai tersebut akan menyebabkan kemarahan rakyat kerana mereka sudah terbeban dengan pelbagai cukai yang dilaksanakan kerajaan.

“Cukai bukan budaya rakyat Malaysia. Cukai dalam apa bentuk sekalipun akan menjejas kesejahteraan orang atau pihak yang membayarnya.

“Persoalannya, apakah kerajaan pasti pelaksanaan GST tidak membebankan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan kemungkinan rakyat menolak kerajaan BN pada PRU akan datang,” katanya.

Amir berkata, pelaksanaan GST tanpa kajian mendalam akan menjejaskan politik negara secara tidak langsung.

“GST dijangka dilaksanakan ketika negara bakal berdepan dengan PRU ke-13, dan ini kemungkinan Barisan Nasional bakal berdepan dengan laluan untuk menang,” katanya.

Amir ketika mengulas penubuhan pasukan khas oleh pembangkang yang tidak bersetuju cadangan melaksanakan GST berkata, ia pastinya memberi kesan serampang dua mata kepada pembangkang.

No comments: