Khamis, 15 Mac 2018

Mahfuz akan kukuhkan Amanah, kata Anuar Tahir

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penyertaan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar ke dalam Amanah akan mengukuhkan lagi kekuatan parti, kata Anuar Tahir.
 
Setiausaha Agung Amanah itu berkata Mahfuz dikenali sebagai seorang pemimpin yang lantang bersuara dan kemasukannya dalam Amanah tentunya sesuatu yang sudah lama dinantikan.
 
"Penyertaan beliau kedalam Parti Amanah Negara adalah sesuatu yang akan menambahkan lagi kekuatan yang ada pada parti.
 
"Bagi kita sesuatu yang menggembirakan. Beliau memang seorang tokoh yang sangat banyak pengalaman dalam politik negara. Seorang tokoh yang berani dan seorang jurucakap, budi bicara rakyat yang cukup hebat," katanya kepada Antarapos hari ini.
 
Tanda tanya berkenaan parti mana yang akan disertai Mahfuz akhirnya terjawab hari ini selepas mengumumkan menyertai Amanah, selepas genap 45 hari meninggalkan PAS.
 
Katanya, langkahnya mengubah haluan politik dibuat secara rasional berdasarkan kepada kemampuan gabungan parti dalam PH untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Mahfuz meninggalkan PAS pada penghujung tahun 2017 selepas lebih 20 tahun berada dalam parti berteras Islam itu.
 
Penyertaan beliau ini, mengesahkan tindakan beliau yang sebelum ini sering dilihat 'mesra' dengan bekas pimpinan PAS yang telah menyertai Amanah, sejak tahun 2015.
 
Malah ketika masih berada di dalam parti, Mahfuz sering mengeluarkan kenyataan yang tidak sehaluan dengan pimpinan PAS, termasuk menyerang presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Beliau juga kerap digelar 'harum manis' yang merujuk kepada buah mangga yang hijau (PAS) di luar, oren (Amanah) di dalamnya.
 
Sementara itu, Anuar ketika ditanya sama ada Mahfuz akan diperuntukkan bertanding kerusi Parlimen Pokok Sena berkata perkara itu masih belum diputuskan.
 
"Ia akan diputuskan oleh Jawatankuasa Nasional parti. Kita akan (bincangkan) dalam mesyuarat Majlis atau Jawatankuasa Nasional parti akan memutuskan semua kedudukan itu.
 
"Dalam parti ini semua keputusan dibuat secara demokratik mengikut perlembagaan parti, mesyuarat tentukan. Tidak ada sesiapa boleh membuat ketentuan," jelasnya. 
 
Media sebelum ini dilaporkan, Amanah Bahagian Pokok Sena menolak nama Mahfuz jika dipilih sebagai calon pada PRU14.
 
Namun, itu sebelum pemimpin itu menyertai Amanah.
 
Untuk rekod, Mahfuz mewakili Parlimen Pokok Sena sejak 1999 atas tiket PAS. Pada 2004, beliau pernah tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) dan kembali memenangi semula kawasan itu pada PRU berikutnya.
 
Anuar juga mengulas penyertaan bekas AJK PAS Pusat Dr Rosli Yaakop yang juga bekas pengarah urusan akhbar lidah rasmi PAS, Harakah.
 
Ujarnya, penyertaan Dr Rosli juga dianggap memberi suntikan semangat kepada Amanah dalam mendepani PRU14.
 
"Demikian juga penyertaan Dr Rosli seorang ekonomis, mantan Timbalan Pengarah di Bank Negara Malaysia yang juga baru ini sebagai Pengarah Urusan Harakah. 
 
"Penyertaannya itu juga memberikan semangat dan kekuatan kepada kami semua," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: