Khamis, 15 Mac 2018

PH mahu Malaysia jadi negara Anarki? soal penganalisis

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Malaysia akan menjadi negara Anarki jika Pakatan Harapan (PH) benar-benar memansuhkan akta yang menyekat kebebasan bersuara kata penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
 
Beliau berkata demikian mengulas hasrat PH yang mahu memansuhkan undang-undang berkenaan sekiranya gabungan empat parti pembangkang itu memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
 
Azizuddin berkata, PH jangan terlalu ghairah berjanji itu dan ini akhirnya sesal di kemudian hari.
 
"Kalau tiada undang-undang menyekat kebebasan bersuara nanti, bebaslah semua pihak nak cakap apa-apa.
 
"Kita nak Malaysia jadi huru-hara atau macam mana ? Sebab itu kena tanya semula Pakatan Harapan bentuk negara bagaimana yang mereka mahu.
 
"Kalau nak bebas semuanya, nanti Malaysia akan jadi kacau bilau sebagainya dan bakal menjadi sebuah negara 'anarki'," tegasnya ketika dihubungi Antarapos.
 
Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan janji baru itu turut berikrar untuk memastikan media arus perdana bebas daripada kawalan parti politik.
 
Janji politik baru PH itu menyusul selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan akan menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi memastikan ia bersesuaian keadaan semasa.
 
Mengulas lanjut, Azizuddin sebagai negara berbilang bangsa dengan cabaran media sosial masa kini, tindakan memansuhkan akta menyekat kebebasan bersuara hampir tidak sesuai diutarakan.
 
Ujarnya, rakyat negara ini perlu diikat oleh satu akta bagi memastikan tiada antara mereka yang berani memporak-perandakan sesama bangsa hanya dengan bersuara tentang isu-isu sensitif atau menyebarkan fakta dan juga berita palsu.
 
"Saya rasa undang-undang membenarkan kebebasan bersuara namun ada sekatan, tidak semua perkara boleh disuarakan.
 
"Jadi kalau nak mansuhkan keseluruhan undang-undang kebebasan bersuara amatlah tidak sesuai dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang ada sensitivi agama dan sebagainya," katanya.
 
"Saya tidak setuju jika dihapuskan semua, mereka perlu lihat banyak faktor seperti hina agama dan sebagainya, 
 
"Saya rasa negara Amerika pun tidak buat macam tu," tambahnya.
 
 
 

Tiada ulasan: