Rabu, 24 November 2021

Timbalan Presiden UMNO kata dunia tak iktiraf Kerajaan Malaysia


Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan membayangkan Kerajaan Malaysia yang ada sekarang ini tidak diiktiraf seluruh dunia, kerana ianya bukan sebuah kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat.

Dalam mengulas cadangan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata saranan berkenaan bagi membolehkan kerajaan yang mendapat mandat rakyat mentadbir Malaysia.

“Kalau boleh kita adakan PRU supaya memberi mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan. Apa yang saya katakan bukan kerana BN bukan kerana UMNO, tetapi saya melihat kerajaan ini mesti mendapat mandat.

“Kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat akan diiktiraf seluruh dunia. Saya melihat kerajaan ini mesti mendapat mandat, kerajaan yang mendapat mandat rakyat akan diiktiraf seluruh dunia itu maksud saya.

“Mengapa negara luar tidak mahu datang dan melabur di negara kita, kerana mereka tidak mengiktiraf kerajaan yang sebegini, sekali mengundi dapat tiga Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Sembilan, malam tadi.

Semalam, sebaik sahaja BN menang besar dengan menawan 21 daripada 28 kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Mohamad terus memberi cadangan supaya PRU15 dipercepatkan setelah mengambil kira sentimen rakyat terhadap parti itu sekarang ini.

Menurutnya, perkara itu juga telah disuarakannya kepada Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam kelmarin sebaik sahaja BN memenangi PRN Melaka.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga berpendapat PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat berikutan momentum BN yang baik ketika ini selepas meraih kemenangan pada PRN Melaka.

“Momentum sangat baik ketika ini, kalau lambat takut orang lupa. Kemenangan dua pertiga yang diperoleh BN ketika PRN Melaka pada Sabtu lalu memberi gambaran sokongan padu diterima parti.

“Berhubung PRU15, ia akan dibincangkan selanjutnya dengan pucuk pimpinan parti sebelum disampaikan kepada Perdana Menteri, mengenai hasrat UMNO,” katanya.

Kerajaan Malaysia sekarang ini diketuai Ismail Sabri yang mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Ogos lalu, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelantikan Ismail Sabri dibuat setelah beliau mendapat sokongan daripada 114 Ahli Parlimen (MP), termasuk 54 daripada Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada 31 MP mewakili Bersatu, PAS (18), satu MP Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan empat MP Bebas pro-PN.

Beliau juga mendapat sokongan daripada 18 MP Gabungan Parti Sarawak yang menjadi rakan kerjasama utama PN, dan 41 daripada MP BN.

Tiada ulasan: