Isnin, 29 November 2021

Satu filem tak lulus tahun ini

KUALA LUMPUR: Terdapat enam filem yang diberi keputusan Tidak Lulus Untuk Tayangan tahun lalu dan satu filem tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata filem itu termasuk Daulat yang diterbitkan di negara ini, iaitu filem tempatan.

Filem lain, kata beliau, ialah Real Love yang diterbitkan di Perancis, Shubh Mangal Zyada Saavdhan dan Pallu Padama Paathuka (India), White Eye (Israel), Boluomi (Taiwan) serta satu filem terbitan dari China, Battle At Lake Changjin.

"Di bawah Akta Penapisan Filem ini, memang kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri untuk melantik mana-mana orang sebagai ahli lembaga penapis filem yang terdiri seorang pengerusi dan timbalan pengerusi serta tidak kurang dua orang ahli penapis filem yang lain.

"Bermakna jangan kurang dua orang. Boleh tiga orang, lima orang dan sebagainya," katanya menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng(DAP - Kepong) pada sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat hari ini.

Filem Daulat membawa naratif mengenai kisah politik diterbitkan pada April tahun lalu menampilkan barisan pelakon antaranya Vanida Imran, Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Jasmine Suraya Chin, Cristina Suzanne dan Zul Zamir.

Menjawab soalan asal Lip Eng mengenai kedudukan Lembaga Penapisan Filem (LPF), beliau berkata, LPF tidak diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana fungsi LPF terhad kepada penapisan kandungan filem yang sudah siap untuk ditayangkan kepada umum.

"LPF tidak terbabit dalam urusan pembikinan atau pengeluaran filem sebagaimana sedia dilaksanakan secara langsung oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), iaitu satu agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang melaksanakan fungsi khusus untuk membangunkan industri filem tempatan, berdasarkan kepada peruntukan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981," katanya.

Tiada ulasan: