Isnin, 29 November 2021

Lebih 30,000 peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan diwujudkan - Arthur

BH ONLINE
Foto hiasan - BERNAMA
Foto hiasan - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menganggarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam pelbagai bidang, khususnya sektor pembinaan pada tahun hadapan.

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata peluang pekerjaan itu akan ditawarkan di bawah Program Pekerjaan Jangka Pendek (mySTEP) dan Latihan Profesional dan Pendidikan untuk Usahawan Berkembang (PROTÉGÉ) yang akan bermula pada Januari 2022.

"Dalam Belanjawan 2022, kita (KKR) ingin merancakkan sektor pembinaan supaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan, terutama kepada golongan belia," katanya pada program Selamat Pagi Malaysia di TV1 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Justeru, beliau berkata, penggiat industri perlu menggunakan teknologi dan mekanisasi untuk pelaksanaan projek pembinaan selaras dengan peralihan industri pembinaan dalam alaf industri 4.0 supaya menarik minat dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

"Ia juga akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing untuk jangka masa panjang.

"Selain itu, syarat wajib syarikat kontraktor yang mendapat kontrak kerajaan melebihi nilai ambang RM10 juta yang perlu memperuntukkan satu peratus daripada nilai kontrak bagi melaksanakan program PROTÉGÉ juga akan merancakkan peluang pekerjaan di sektor pembinaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan projek pembangunan berimpak tinggi bernilai RM3.5 bilion antaranya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dan Jalan Central Spine dalam usaha merangsang pemulihan ekonomi negara.

Katanya, kerajaan juga akan terus melaksanakan projek kecil dan sederhana bernilai RM2.9 bilion yang dikhususkan kepada kontraktor G1-G4 di seluruh negara dan memperuntukkan RM200 juta bagi projek berskala kecil khusus untuk penyertaan Bumiputera.

"Untuk tahun ini, RM200 juta diperuntukkan bagi Program Pembangunan Kontraktor Kecil Penyenggaraan membabitkan 564 kontraktor G1-G4 iaitu 337 dari Semenanjung dan 227 dari Sabah, Sarawak dan Labuan," katanya.

Dalam belanjawan 2022, KKR menerima RM7.3 bilion meliputi bajet mengurus sebanyak RM823 juta, manakala bajet pembangunan bernilai RM6.48 bilion. - BERNAMA

Tiada ulasan: