Ahad, 28 November 2021

Lelaki rampas tas tangan wanita ditahan

Lelaki yang didakwa mengambil beg tangan seorang wanita selepas mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan, ditahan polis hari ini. - Foto tular media sosial
Lelaki yang didakwa mengambil beg tangan seorang wanita selepas mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan, ditahan polis hari ini. - Foto tular media sosial

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai mengambil beg tangan dari kenderaan wanita yang terlanggar keretanya di Kilometer 14.6 Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan selepas membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, kira-kira jam 6.30 petang tadi.

"Siasatan mendapati kemalangan yang tular di media sosial itu berlaku jam 1.33 tengah hari tadi, membabitkan tiga kenderaan.

"Wanita berkenaan yang memandu kereta BMW dikatakan terlanggar belakang sebelah kanan Proton Gen 2 dipandu lelaki terbabit di hadapannya.

"Pelanggaran menyebabkan kereta lelaki berusia 56 tahun itu terlanggar sebuah kereta jenis Honda HRV di hadapan yang dipandu seorang wanita.

"Tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Baharudin berkata, polis turut membuka kertas siasatan berhubung tindakan lelaki berkenaan mengikut Seksyen 379/323 Kanun Keseksaan.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan diminta membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam, Sarjan Hafizi Hashim (013-9557042)

Terdahulu, klip video berdurasi satu minit 30 saat tular di media sosial, memperlihatkan pemandu lelaki itu meminta kad pengenalan wanita pemandu BMW terbabit selepas kemalangan berkenaan.

Suasana bertukar menjadi tegang dengan pertengkaran dan berdasarkan video yang dipercayai dirakam wanita terbabit, lelaki itu dilihat merampas beg tangan dalam BMW sebelum diletak dalam keretanya.

Wanita berusia 34 tahun itu mendakwa turut dicederakan oleh lelaki berusia 56 tahun terbabit ketika mereka bertengkar.

Tiada ulasan: