Jumaat, 26 November 2021

KPDNHEP komited pantau punca kenaikan harga barangan

Alexander Nanta Linggi.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini membuat laporan polis susulan isu kenyataan serta gambar tular yang mempersenda kesusahan rakyat semalam.

Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan dakwaan yang tidak sensitif itu dan menyifatkan perkara tersebut sebagai fitnah.

“Saya dengan jelas ingin menyatakan di sini bahawa saya tidak pernah membuat kenyataan rakyat perlu makan itik. Saya tidak pernah buat begitu, itu fitnah.

“Jadi, KPDNHEP telah membuat laporan polis mengenai isu ini dan saya kesal dengan perbuatan fitnah sebegini. Kalau terdesak pun, jangan lakukannya,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, dilaporkan terdapat satu kenyataan yang dibuat susulan sekeping gambar tular kononnya menunjukkan Nanta menggesa pengguna di Malaysia makan itik sementara menunggu kerajaan mengkaji kenaikan harga ayam.

Sementara itu, Nanta berkata, KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan terutama makanan serta keperluan asas seperti roti jenama Gardenia yang dilaporkan akan meningkat bermula 1 Disember ini.

Beliau berkata, KPDNHEP akan memanggil pihak syarikat itu esok untuk memperoleh maklumat mengenai punca kenaikan harga produk berkenaan.

“Apabila harga naik nanti, kita akan buat sepertimana kita lakukan selama ini. Kita akan laksanakan libat urus, kajian dan bertanya kepada mereka akan punca kenaikan itu.

“Kita berharap dengan adanya maklumat itu, kita akan dapat mencari jalan untuk kita tangani masalah harga itu nanti,” katanya.

Mengulas harga ayam dan sayur-sayuran, beliau berkata peningkatan kos operasi syarikat penternakan, kos import, kenaikan harga baja dan racun merupakan antara punca yang menyumbang kepada kenaikan harga produk itu di pasaran ketika ini.

“KPDNHEP telah membuat pemantauan dan kajian, kita dapati punca kenaikan harga ayam dan telur ayam ini adalah disebabkan oleh kenaikan kos operasi syarikat ternakan ayam. Sebahagian besar kos operasinya melibatkan kos makanan dengan hampir 100 peratus diimport dari negara asing seperti jagung dan soya.

“Dari segi sayur, ada sayur keluaran tempatan yang harganya naik kerana kita pada masa ini sudah sampai ke penghujung tahun iaitu musim tengkujuh yang sememangnya harga sayur akan meningkat. Selain itu, harga baja dan racun sebagai input untuk pengeluaran hasil buah-buahan dan sayur-sayuran ini juga sudah naik mendadak,” katanya.

Mengulas lanjut, Nanta berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam usaha mengawal harga jualan serta harga runcit khususnya di peringkat pengeluaran.

Beliau juga berkata kerjasama KPDNHEP dengan pemain industri berkaitan penjualan dan pembekalan kit ujian kendiri COVID-19 di peringkat runcit kini sangat tinggi dalam usaha menangani penularan wabak itu.

“Memang ada kerjasama, saya sukacita memaklumkan kerjasama sangat tinggi antara pemain industri, kedai-kedai runcit dan sebagainya yang menjual serta membekalkan kit ujian kendiri COVID-19,” katanya.— BERNAMA

Tiada ulasan: