Isnin, 29 November 2021

PATI Myanmar bayar RM5,000 untuk masuk Malaysia

 Polis merampas kenderaan yang digunakan sindiket pemerdagangan manusia  membabitkan penyeludupan warga Myanmar melalui Op Pintas  di daerah Seberang Perai Utara.-  FOTO ihsan FB PDRM Pulau Pinang
Polis merampas kenderaan yang digunakan sindiket pemerdagangan manusia membabitkan penyeludupan warga Myanmar melalui Op Pintas di daerah Seberang Perai Utara.- FOTO ihsan FB PDRM Pulau Pinang

BUTTERWORTH: Polis menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia membabitkan penyeludupan warga Myanmar, apabila menahan 30 individu termasuk empat dalang, melalui beberapa serbuan Op Pintas di daerah Seberang Perai Utara, kelmarin.

Serbuan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais, berkata dalam serbuan hasil risikan itu, pihaknya menahan dua lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Myanmar berusia 43 hingga 66 tahun dipercayai dalang bagi aktiviti itu.

"Keempat-empat mereka dipercayai bertanggungjawab membawa masuk pendatang tanpa izin (PATI) dengan menggunakan jalan darat menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook PDRM Pulau Pinang, hari ini.

Jelasnya, polis turut menahan 21 lelaki dan lima wanita warga Myanmar berusia 20 hingga 35 tahun.

"Siasatan awal mendapati setiap PATI membayar antara RM4,000 hingga RM5,000 kepada dalang untuk dibawa masuk ke Malaysia, polis turut merampas empat kereta, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

"Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut," katanya.

Rahimi berkata, dalang yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Kesalahan Penyeludupan Migran).

Tiada ulasan: