Selasa, 30 November 2021

Projek HSR: Najib gembira Ismail Sabri ikut cakap, gesa tuntut RM320 juta


Datuk Seri Najib Razak mungkin menjadi orang paling gembira apabila kerajaan bersetuju menghidupkan semula perbincangan mengenai Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, yang dibatalkan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Najib yang kini dikatakan telah berada di Singapura, serentak pada hari Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat negara itu, berkongsi kegembiraan dalam Facebook beliau.

Dalam kenyatannya hari ini bekas PM itu berharap Ismail Sabri menuntut semula RM370 juta yang telah dibuat oleh Malaysia kepada Singapura sebelum ini kerana membatalkan projek berkenaan.

“Alhamdulillah! Ada sinar harapan. Terbaik PM9. Harap boleh tuntut balik pampasan RM50 juta dibayar oleh PH dan RM320 juta dibayar oleh PN kepada Singapura,” kata Najib.

Sebelum ini, Najib telah berkali-kali mendesak Ismail Sabri berbincang dengan Singapura untuk menyambung semula projek yang dilancarkan ketika beliau menjadi PM pada 13 Disember 2016, setelah dibatalkan kerajaan PH pada 1 Januari lalu.

Malah ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Najib juga mendesak projek itu disambung semula selepas Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menjadi PM.

Najib turut menyalahkan kerajaan PH yang membatalkan projek itu hingga negara terpaksa membayar pampasan kepada Singapura, termasuk RM320 juta yang dibayar oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, PM Singapura Lee Hsien Loong hari ini berkata republik itu terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek HSR dan Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara akan berbincang kebih lanjut.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mencadangkan perbincangan mengenai HSL dihidupkan semula dan saya menjawab bahawa Singapura dan Malaysia telah mencapai persetujuan sebelum ini untuk menamatkan projek HSR, dan ini telah diselesaikan secara baik.

“Bagaimanapun, Singapura terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia mengenai projek HSR dan kementerian pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu,” kata Hsien Loong pada sidang media bersama Ismail Sabri hari ini yang juga disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi beliau.

Keputusan Ismail Sabri mencadangkan Hsien Loong untuk menyambung semula rundingan projek itu sekali gus dilihat beliau ‘terpaksa’ mengikut desakan Najib yang sebelum ini diuar-uarkan bakal dilantik menjadi Penasihat Ekonomi oleh Ismail Sabri.

Sejak kebelakangan ini Najib begitu aktif di dalam memberi pelbagai cadangan dari sudut ekonomi kepada kerajaan walaupun tidak secara rasmi dilantik menjadi Penasihat Ekonomi.

Tiada ulasan: